PAN-gon dan Shahrul ketika sidang media menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa  Malaysia dan Hong Kong, esok. FOTO Bernama
PAN-gon dan Shahrul ketika sidang media menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia dan Hong Kong, esok. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pemain pertahanan Harimau Malaya, Shahrul Saad menepis tanggapan sesetengah pihak betapa pemain yang kurang minit permainan tidak dapat beraksi pada tertinggi apabila diturunkan dalam kesebelasan utama.

Tegas Shahrul, walaupun mengakui kurang minit permainan pada saingan Liga Super bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), itu bukan halangan untuk mencapai prestasi terbaik ketika ini dan bersedia membantu Harimau Malaya pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

"Betul minit permainan penting tetapi itu bukanlah satu-satunya faktor dan menjadi alasan, seperti saya sendiri semasa 'training', banyak latihan dilakukan adalah berintensiti tinggi, jadi ia tidak memberi masalah apabila diturunkan menyarung jersi skuad kebangsaan.

"Sepanjang tempoh 10 hari ketua jurulatih mempratikkan latihan yang sememangnya ibarat beraksi seakan dalam perlawanan kompetitif dan kami mendapat pendedahan terbaik ketika latihan di Johor Bahru," katanya.

Menurut pemain berusia 29 tahun itu, posisi pertahanan tampak ada persaingan hebat antara dirinya, Dion Cools, Dominic Tan dan Ahmad Khuzaimee Piee untuk berada dalam kesebelasan utama dimana kesemuanya layak.

"Kem latihan skuad kebangsaan kali ni, memang benar ini antara kem latihan terbaik kami pada musim ini malah di posisi pertahanan sendiri, banyak pemain berpengalaman dan dalam prestasi terbaik mereka.

"Jadi tidak penting siapa diturunkan sebaliknya yang diberi peluang akan lakukan terbaik buat Malaysia, kami sokong satu sama lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 5:47 PM