PEMAIN  Harimau Selatan berpeluang timba pengalaman beraksi bersama kelab luar negara.
PEMAIN Harimau Selatan berpeluang timba pengalaman beraksi bersama kelab luar negara.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Tanpa memikirkan kepenatan tatkala perlu menempuh penerbangan selama lapan jam, barisan pemain Johor Darul Ta’zim meneruskan latihan di Stadium Saint George di Banksia yang terletak di selatan Sydney, Australia, kelmarin.

Ketua jurulatih Johor DT Bojan Hodak berkata, semua pemain berada dalam keadaan cergas walaupun tampak sedikit kepenatan selepas menempuh perjalanan agak panjang, namun mereka tetap beri komitmen ketika latihan.

Katanya, jadual perlawanan menentang kelab Australia sudah diatur iaitu menentang kelab Melbourne City FC yang beraksi dalam Liga Australia (Liga-A) dan pasukan yang layak beraksi di saingan separuh akhir Piala FA Australia, Bentleigh Greens FC.

“Saya akan beri peluang kepada semua pemain beraksi pada perlawanan persahabatan kerana mahu menilai sendiri kemampuan mereka sebelum memutuskan kesebelasan utama untuk memulakan kempen Liga Malaysia (Liga M), 31 Januari ini.

“Ia pendedahan terbaik berdepan dua pasukan dibarisi pemain berkualiti dan pemain Johor DT harus mengambil kesempatan itu untuk mempamerkan corak taktikal yang sudah saya rancangkan.

“Aksi perlawanan persahabatan sudah diatur dan dijadualkan pada 8 dan 9 Januari ini malah kita juga akan menentang dua pasukan yang beraksi pada saingan Piala Asia dan tarikh perlawanan itu akan dimaklumkan nanti,” katanya.

Apapun, Hodak menegaskan kelibat pemain muda iaitu Gary Steven Robbat, Mohd Amer Saidin dan Mohd Fandi Othman menunjukkan peningkatan ketara ketika latihan di Johor Bahru sebelum ke Australia untuk latihan pra-musim.

Beliau menambah, Jorge Pereyra Diaz yang mengalami kecederaan pangkal paha sudah pulih dan diberi peluang beraksi pada perlawanan persahabatan nanti malah kelibat Safee Sali juga akan diturunkan dalam kesebelasan utama.

“Pada musim ini saya memiliki pemain yang bersedia diturunkan dalam kesebelasan utama dan ia perkembangan positif mengharungi kempen Liga M yang padat.

“Perancangan rapi juga dibuat untuk persiapan menentang Benggalaru FC pada aksi play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Larkin, 4 Februari ini dan saya akan gunakan tempoh empat minggu ini untuk memberi penekanan kepada aspek taktikal pada sesi latihan dan aksi persahabatan,” kata Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:17 AM