Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Biarpun sibuk de­ngan persediaan menjelang Anugerah Juara Lagu 29 (AJL 29) yang akan berlangsung Januari nanti bersama Mojo, Aweera masih sempat memenuhi undangan nyanyian yang diterima secara solo.

Esok (Sabtu) menjadi hari paling istimewa dan bersejarah buatnya kerana akan terbabit menjayakan persembahan untuk majlis Anugerah Industri Muzik 21 (AIM 21) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dia bertuah kerana bakal bergandingan dengan Datuk Khadijah Ibrahim dan Tam Spider bagi menjayakan segmen 'tribute' untuk Datuk Ramli Sarip.

"Kami bergandingan menyampaikan lagu Teratai dan saya bersyukur kerana diberi peluang bergandingan dengan artis-artis pujaan saya. Alhamdulillah, apa yang datang ini rezeki dan saya gunakannya bagi memantapkan lagi vokal.

"Terima kasih, saya ucapkan kepada RIM dan AIM kerana menyedari bakat saya ini. Ahadnya pula (7 Disember), saya akan tampil pada Konsert Karnival Padat Harian Metro di pekarangan Stadium Malawati, Shah Alam bermula jam 8.30 malam.

"Seronok rasanya kerana diberi peluang bekerjasama dengan akhbar nombor satu seperti Harian Metro (HM) ini. Malam itu saya bakal bergandingan de­ngan Fiq Mentor dan Hazama menyanyikan lagu Madah Berhelah (Ziana Zain) dan Mengapa (Nicky Astria).

Kami bertiga akan me­nyanyi secara 'live' de­ngan iringan piano oleh Ajai. Selain kami, ramai lagi artis akan tampil antara­nya Kaka, Hyper Act, Nidji, Asmidar, Ewal dan Nuha AF2014 dan Amelina,'' katanya yang bakal muncul dengan single terbaru berjudul Terhakis.

Karnival selama dua hari pada 6 dan 7 Disember ini dijangka dikunju­ngi 100,000 pengunjung dan turut dimeriahkan dengan barisan gerai penaja antaranya Maxis selaku penaja utama, Avon, I-Pmart, Burgerbyte dan Hemariton sebagai penaja bersama.

Pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya pe­ngunjung juga berpeluang menyertai aktiviti gubahan bunga dan pertandingan modifikasi terbaik kereta dan motosikal.

Aweera kini mengikat kontrak setahun bersama syarikat rakaman Sony Music dan perjanjian ini menyaksikan dia bakal muncul dengan tiga single dalam masa terdekat.

"Terhakis adalah single pertama yang lagu dan liriknya dihasilkan saya sendiri. Ia mengisahkan mengenai cinta yang tak kesampaian tapi tiada kena mengena de­ngan percintaan saya yang masih berjalan lancar.

Peminat sekarang sukakan lagu cinta dan kenalah saya ikuti peredaran zaman dengan mengekalkan elemen rock serta dimasukkan elemen moden. Lagu begini masih jadi pilihan ramai," katanya.

Sebelum ini, Aweera baru saja selesai menjayakan majlis pelancaran Jualan Akhir Tahun 1Malaysia (1MYES) anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta Tourism Malaysia.

Undangan ini diterima daripada Ketua Unit Sekretariat Shopping Malaysia, Baizuri Baharum dan majlis pelancaran­nya dirasmikan Timbalan Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelanco­ngan Malaysia, Senator Datuk Maznah Mazlan.

Jualan Akhir Tahun 1 Malaysia yang akan berakhir 4 Januari tahun hadapan menawarkan pengalaman membeli-belah, menjamu selera dan bersantai pada harga yang berpatutan.

Ia juga dapat memberi peluang rakyat Malaysia dan pelancong asing untuk mendapat tawaran dan diskaun hebat serta pilihan barangan dan perkhidmatan yang lebih banyak.

Selain Aweera, majlis pelancaran 1MYES turut dimeriahkan dengan per­sembahan Ella dan pemain gitar terkenal, Man Kidal. Majlis turut dimeriahkan dengan pertunjukan fe­syen dan tarian kebudayaan masyarakat Malaysia oleh Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN).

Sementara itu Baizuri berkata, pemilihan Aweera serta Ella dan Man Kidal dibuat berdasarkan populariti semasa mereka yang diminati ramai.

"Mereka ada kelompok peminat tersendiri dan mampu menarik perhatian peminat untuk tahu apa itu 1MYES. Sebenarnya, jualan diseluruh negara ini akan menyaksikan pusat-pusat beli-belah menawarkan pelbagai hadiah, tawaran diskaun dan kempen tebusan serta jualan istimewa sempena Krismas dan Tahun Baru.

"Diharapkan, kempen ini dapat memperkenalkan produk buatan tempatan serta budaya kita kepada masyarakat luar. Semoga sekembalinya media antarabangsa dan ejen-ejen pelancongan ke negara masing-masing seperti Arab Saudi, Korea, New Zealand, Turki, Vietnam bakal meuar-uarkan mengenai Malaysia yang aman damai dan pelbagai tarikan pelancongan yang terdapat disini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 5:01 AM