Nor Aishah diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh atas tuduhan pecah amanah di pejabat Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya membabitkan nilai RM4,732. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Nor Aishah diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh atas tuduhan pecah amanah di pejabat Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya membabitkan nilai RM4,732. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seorang wanita bekas penjawat awam berdepan 10 tuduhan pecah amanah, di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, pagi tadi.

Tertuduh Nor Aishah Iman, 28, dari Peringgit, di sini, bagaimanapun minta dibicarakan bagi semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, perbuatan berkenaan dilakukan di pejabat Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, di sini, dari 21 Januari hingga 26 Februari lalu membabitkan nilai RM4,732.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi mencadangkan jaminan RM18,000 bagi keseluruhan 10 pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam Bela Andrew Lourdes, merayu jaminan diringankan kerana tertuduh tidak lagi berkerja selain mempunyai dua anak dan suami hanya berkerja sebagai penjawat awam.

Selepas mendengar rayuan kedua-kedua pihak, Ahmad Sazali kemudian menawarkan tertuduh jaminan RM15,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 20 Jun untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 2:07 PM