TIGA beradik lelaki diiringi anggota polis selepas didakwa atas tuduhan memukul dan merosakkan kenderaan di Mahkamah Majistret, Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh.
TIGA beradik lelaki diiringi anggota polis selepas didakwa atas tuduhan memukul dan merosakkan kenderaan di Mahkamah Majistret, Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh.
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Tiga beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, atas tuduhan memukul dan merosakkan kenderaan ipar mereka dalam kejadian di Rumah Awam Pantai Peringgit, Oktober lalu.

Tertuduh, Mohd Nezam Mohsin, 46, dan dua adiknya, Mohd Aznizan, 35, serta Mohamad Amin, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Norina Maludin.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nezam didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Johari Hamki Mat Amin, 38, dengan memukul mangsa menggunakan tangan pada bahagian muka dan badan.

Bagi kesalahan itu, Mohd Nezam didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd Aznizan dan Mohamad Amin didakwa bersama-sama melakukan khianat terhadap harta milik mangsa sama dengan memecahkan cermin tingkap dan badan kereta membabitkan nilai kerugian RM3,000.

Ketiga-tiga tertuduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 3 pagi di Rumah Awam Pantai Peringgit pada 3 Oktober lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azli Zakaria mencadangkan jaminan RM2,000 ke atas setiap tertuduh.

Peguam Mohd Fadil Mohd Yusof yang mewakili ketiga-tiga tertuduh bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan dengan alasan kejadian berlaku akibat salah faham dalam keluarga dan tertuduh menanggung ibu bapa yang tidak bekerja.

“Saya difahamkan pengadu yang juga ipar tertuduh melanggar kereta seorang daripada tertuduh sebelum berlaku pertengkaran.

“Saya mohon jaminan rendah dikenakan kerana semua mereka bekerja sendiri dan perlu menanggung ibu serta bapa yang akan menjalani pembedahan penyakit prostat dan hernia,” katanya.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menawarkan jaminan RM1,500 terhadap Mohd Nezam manakala adiknya masing-masing RM1,800, selain menetapkan 19 Januari depan sebagai tarikh sebut semula kes.

Adik-beradik dari Batu Pahat, Johor itu kemudian membayar jaminan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 9:09 AM