Mohd Hilmie Hussin


DUA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan bersubahat dan melakukan rompakan berkumpulan ke atas pasangan warga emas, bulan lalu.

Tertuduh Bakhtiar Jamil, 47, dan Ahmad Mee, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam prosiding berasingan.

Bakhtiar didakwa di hadapan Hakim Norma Ismail pada prosiding oleh Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban, manakala Ahmad pula didakwa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan pada prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi.

Mengikut pertuduhan, Bakhtiar didakwa bersubahat dengan Ahmad dan seorang yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan terhadap Mariam Mahmud, 66, dan suaminya, Alias Simin, 67, menggunakan sebilah kacip pinang dan pisau sebagai senjata.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kejadian membabitkan kerugian berjumlah kira-kira RM30,000 itu di sebuah rumah di Kampung Pernu jam 7.15 malam, pada 6 September lalu.

Bakhtiar didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 395/397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Ahmad didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas mangsa bersama seorang yang masih bebas membabitkan kerugian sama menggunakan senjata sama atau cuba menyebabkan kematian atau cedera parah terhadap kedua-dua mangsa.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Terdahulu, Shazreen Nadia dan Siti Ruvinna mencadangkan ikat jamin, namun kedua-dua tertuduh merayu jaminan rendah dikenakan dengan alasan mempunyai tanggungan keluarga.

Norma menawarkan jaminan RM15,000 terhadap Bakhtiar, manakala Elesabet pula menawarkan jaminan RM18,000 terhadap Ahmad dengan seorang penjamin.

Norma turut memerintahkan kes membabitkan Bakhtiar dibicarakan bersama Ahmad pada 1 November depan.

Berita berkaitan

Buka puasa pil tidur

Sah ubat tidur

Memang dasar 'buta perut'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 3:06 PM
TERTUDUH dibawa anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini. FOTO/VIDEO Rasul Azli Samad
TERTUDUH dibawa anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini. FOTO/VIDEO Rasul Azli Samad