ABU Bakar (kanan) dan kapten kapal (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani. FOTO Sharul Hafiz Zam
ABU Bakar (kanan) dan kapten kapal (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani. FOTO Sharul Hafiz Zam
Oleh Norul Awatif Romli

Sungai Petani: Seorang pemilik syarikat minyak Prai Petroleum Enterprise bersama kapten kapalnya warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani, di sini, hari ini atas empat pertuduhan berasingan kerana didapati menjalankan urusan membabitkan barang kawalan diesel bersubsidi berjumlah hampir 50,000 liter tanpa permit sah berhampiran perairan Pulau Bidan, dekat sini, Ogos lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di atas sebuah kapal yang didaftarkan di Pulau Pinang iaitu Kapal MT Victory Star 1 yang pada 5.39 petang 21 Ogos lalu di kedudukan 10.9 batu nautika Barat Daya dari Pulau Bidan, Kedah.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan di depan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim, kedua-dua tertuduh yang masing-masing dikenakan dua pertuduhan berasingan setiap seorang didakwa berurusan dengan barang kawalan berjadual membabitkan diesel bersubsidi dianggarkan berjumlah 50,000 liter secara runcit atau borong.

Bagi kesalahan itu kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana melakukan urusan memindahkan diesel dari Kapal MT Victory Star 1 ke sebuah Kapal MT Moresby yang didaftarkan di Singapura.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 22 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kali kedua serta berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 3:29 PM