Omar Ahmad


Johor Bahru: Pemandu Lori didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyeleweng 1,450 liter diesel bersubsidi tahun lalu.

Moo Yit Lim, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Berdasarkan kewqrtas pertuduhan, Lim didakwa memiliki barang kawalan yang juga adalah barang berjadual itu dalam dua tong plastik putih dalam lori Daihatsu ketika diserbu polis di Jalan Setia 11/3, Taman Setia Indah di sini kira-kira 8 malam pada 27 Julai 2022.

Sehubungan itu tertuduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan berjadual secara borong atau runcit tanpa lesen.

Perbuatan itu adalah kesalahan di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (1) akta sama.

Mengikut fakta kes, pemeriksaan badan ke atas tertuduh menemukan kunci dan resit pembelian diesel dari pelbagai stesen minyak sebanyak 22 keping berjumlah RM4,300.

Tertuduh gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit untuk menyimpan dan berurusan dengan bahan bersubsidi itu apabila diminta oleh anggota serbuan.

Pemeriksaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati pengubahsuaian dilakukan terhadap lori terbabit dengan terdapat sambungan paip dari tangki utama kenderaan ke tangki bahan api tambahan.

Sebuah pam dipasang dan disambungkan pada tangki utama kenderaan bertujuan untuk memindahkan diesel dari tangki utama kenderaan ke tangki bahan api tambahan yang telah diubahsuai pada kenderaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff. Manakala OKS tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 1:20 PM