Fadzil Teh
Fadzil Teh
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penerbit Fadzil Teh memohon setiap stesen televisyen mewajibkan watak pelakon veteran dalam setiap drama bagi memberi peluang kepada golongan itu menjana pendapatan.

Fadzil berkata, langkah itu dapat membantu artis veteran daripada hidup melarat dan hilang mata pencarian.

"Hari ini saya dengar rintihan artis veteran yang jatuh sakit dan tiada duit. Saya berharap stesen TV mewajibkan setiap drama mesti selit watak artis veteran.

"Mohon juga kepada penerbit untuk mengambil seorang artis veteran sebagai 'anak angkat' dalam produksi mereka.

"Jadi tidak timbul artis veteran yang hidup melarat. Mereka (artis veteran) bukan nak kaya atau glamour, tetapi sekadar nak meneruskan hidup," katanya dalam satu hantaran di Facebook sebentar tadi.

Menurut Fadzil, syarikat produksi miliknya iaitu Zeel Production Sdn Bhd mempunyai dua pelakon veteran yang sering terbabit dalam setiap drama terbitannya.

"Anak angkat Zeel Production adalah Mak Jah dan Lydiawati. Artis veteran ini apabila dah bagi tawaran kerja janganlah buat perangai di set penggambaran.

"Mulut kena jaga, perangai kena kawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 2:30 PM