REDZA Rosli dan Rita Nadira selaku watak utama.
REDZA Rosli dan Rita Nadira selaku watak utama.
Sudirman Mohd Tahir


KEJAYAAN drama 7 Hari Mencintaiku 2 mendapat 12 juta tontonan sepanjang 33 episod yang ditayangkan di slot Akasia, TV3 baru-baru ini seakan memberi tamparan hebat buat syarikat penerbitan Zeel Production Sdn Bhd.

Penerbitnya, Fadzil Teh berkata, peluang diberikan stesen TV3 untuk mengisi slot sama menerusi drama Tak Sempurna Mencintaimu yang dijangka ditayangkan pada November depan dianggap satu perjudian nasib.

Apatah lagi kali terakhir produksi miliknya menerbitkan drama untuk slot kesukaan ramai itu pada 2016 menerusi drama Seindah Takdir Cinta lakonan Redza Rosli, Amyra Rosli dan Saharul Ridzwan.

"Sejujurnya saya takut dan gementar diberi peluang untuk mengisi slot ini. Perlu diakui kejayaan drama 7 Hari Mencintaiku 2 bukan saja memberi impak besar pada penonton, tapi juga buat syarikat penerbit lain termasuk saya.

"Tentu saja penonton mahukan sebuah karya yang lebih bagus daripada drama itu. Kiranya, apabila dapat tawaran ini saya anggap ia cabaran oleh pasukan drama TV3 untuk menghasilkan drama yang hebat juga.

"Menerbitkan karya untuk slot ini seakan memberikan tekanan. Sebabnya, jika drama itu berjaya dan meletup, syarikat dan pelakon akan terkena tempias. Jika sebaliknya, memang punah. Itu yang saya kata ia ibarat perjudikan nasib," katanya.

Dalam masa sama, Fadzli berkata, drama yang bakal diterbitkan dengan menampilkan Redza Rosli, Intan Najuwa dan Rita Nadira selaku watak utama itu diharap dapat menepati cita rasa penonton.

"Seperti drama 7 Hari Mencintaiku 2 bukan saja kuat dari segi jalan cerita, tapi pada mutu lakonan pelakon utama dan pembantu yang dilihat saling memberi.

"Untuk ini saya mempertaruhkan pelakon terkenal seperti Redza Rosli, Intan Najuwa, Aidit Noh dan Rita Nadira untuk memegang watak utama.

DRAMA bakal mengisi slot Akasia, TV3 November depan satu cabaran hebat bagi produksi Zeel Production Sdn Bhd.
DRAMA bakal mengisi slot Akasia, TV3 November depan satu cabaran hebat bagi produksi Zeel Production Sdn Bhd.

"Di samping watak pembantu Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Wan Maimunah, Lydiawati, Azza Elite, Rozita Che Wan, Mak Jah dan ramai lagi yang penuh air mata dan antagonis.

"Memang kita tak boleh nak jangka apa yang penonton inginkan. Disebabkan itu, saya dan pasukan perlu memperkemaskan setiap perkara dalam drama ini terutama skrip dan jalan cerita," katanya.

Sebagai persediaan juga, Zeel Production mengambil inisiatif menghantar barisan pelakon baharu yang terbabit untuk mengikuti kelas lakonan.

Antaranya, Scha Elinnea, Aniq Hero Remaja, Ali Reza, Nafiez Zaidi dan ramai lagi.

"Bagi menarik perhatian penonton, saya memberi ruang kepada pelakon muda dan baharu yang terbabit dalam drama ini untuk mengikuti kelas lakonan selama seminggu bagi mendalami watak masing-masing.

"Saya mahu setiap pelakon baik yang lama atau baharu berjaya dalam setiap watak dan bukannya dikuasai oleh individu tertentu. Saya nak mereka seimbang baharulah nampak menarik," katanya.

Tak Sempurna Mencintaimu akan diarahkan Pyan Screw dan bakal memulakan penggambaran awal bulan depan.

Menariknya, lagu terbaharu penyanyi Khai Bahar iaitu Durja dipilih menjadi lagu tema utama drama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 6:25 AM