AKSI Hafizh di Magny-Cours. FOTO Hafizh Syahrin Abdullah
AKSI Hafizh di Magny-Cours. FOTO Hafizh Syahrin Abdullah
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perlumbaan Pusingan 7 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) kurang menjadi buat wakil negara, Hafizh Syahrin Abdullah apabila hanya mampu mengutip mata saja pada pusingan sebelumnya di Republik Czech, Julai lalu.

Momentum penamat di tempat ke-12 di Litar Most Autodrom di Czech tidak dapat diteruskan di Pusingan 7 yang berlangsung Nevers Magny-Cours, Perancis apabila dia menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-20, Superpole (di tempat ke-17) dan Perlumbaan 2 (di tempat ke-19).

Namun, Hafizh yang juga pelumba MIE Racing Honda Team berkata, dia tetap berpuashati dengan peningkatan yang dipamerkan dalam setiap sesi perlumbaan dan kini mengharapkan keputusan lebih baik dapat dijelmakan pada pusingan seterusnya di Litar Catalunya, Sepanyol dari 23 hingga 25 September ini.

"Kami sangat hampir dengan zon kutipan mata dalam Perlumbaan 2 dan saya fikir, saya mampu meraih satu atau dua mata sekali lagi. Malangnya, pada baki enam pusingan terakhir perlumbaan, saya hilang kawalan di bahagian depan pada Turn 13.

"Saya kembali berada dalam saingan tetapi sudah tentu saya hilang peluang untukberada dalam kelompok penamat 15 terbaik.

"Terima kasih kepada kru yang sudah berusaha gigih, kami melakukan peningkatan di setiap sesi dan saya mula dapat merasai keyakinan dan peningkatan rentak. Apapun, kami masih bermotivasi dan menantikan saingan seterusnya di Barcelona, salah satu trek kegemaran saya," katanya yang kini sudah mengumpul empat mata untuk berada di tangga ke-23 keseluruhan.

Pada saingan WSBK, pelumba Aruba.it Racing - Ducati, Alvaro Bautista mendahului carta bagi kelas perdana dengan ketika ini sudah mengumpul 332 mata manakala Toprak Razgatlioglu (Pata Yamaha with Brixx WorldSBK) di kedudukan kedua, 302 mata.

Pelumba Kawasaki Racing Team WorldSBK, Jonathan Rea pula berada di kedudukan ketiga dengan 285 mata di kala kempen 2022 kini berbaki lima pusingan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 3:24 PM