Antara PATI yang disembunyikan di bawah jaring yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Antara PATI yang disembunyikan di bawah jaring yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan selepas cuba diseludup keluar dari negara ini oleh tekong warga Indonesia berusia 40 tahun di perairan Kesang, Muar dekat sini, pagi kelmarin.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, ketika tangkapan dibuat, pihaknya berjaya mengesan taktik terbaharu digunakan individu terbabit.

Beliau berkata, dalam serbuan kira-kira 10.30 pagi itu, bot ronda PPM berjaya mengesan sebuah bot nelayan gentian kaca menggunakan enjin berkuasa 30 kuasa kuda yang membawa PATI untuk diseludup keluar dari Malaysia.

"Ketika ditahan untuk pemeriksaan, polis menemui dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang berada di dalam bot dan ditutup dengan jaring.

"Ketiga-tiga PATI berusia 21 hingga 30 tahun itu dipercayai disembunyikan di bawah jaring berkenaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa sepanjang perjalanan untuk pulang ke Indonesia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 12:44 PM