FOTO ihsan Polis Marin
FOTO ihsan Polis Marin
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Enam puluh dua pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang tekong darat ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor dalam tiga serbuan berasingan di Bandar Penawar dekat Kota Tinggi, pagi tadi.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, PATI yang ditahan itu terdiri daripada 42 lelaki dewasa dan 20 orang wanita.

Beliau berkata, seorang tekong darat warga Indonesia berusia 33 tahun yang menjadi pengurus dan mengatur perjalanan PATI ini berjaya ditahan dalam serbuan terakhir.

"Mereka ditahan kerana didapati hendak keluar dari Malaysia menuju ke Indonesia dengan melalui jalan yang tidak sah menggunakan bot pancung.

"Semua PATI disiasat mengikut Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 4:31 PM