Pendatang asing yang berjaya ditahan di bawa ke pangkalan. - Foto Ihsan PPM
Pendatang asing yang berjaya ditahan di bawa ke pangkalan. - Foto Ihsan PPM
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seramai 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor di perairan Punggai, Sungai Rengit, Kota Tinggi dekat sini, ketika cuba keluar dari Malaysia menuju Indonesia awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, bot laju berkenaan dikesan sebelum dikejar selama kira-kira 15 minit. Ia kemudian menuju ke arah daratan dan tersadai di pantai.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, dua individu dipercayai tekong serta pembantunya dilihat terjun ke laut dan menghilangkan diri dalam hutan berhampiran.

"Usaha mengesan kedua-dua suspek dijalankan di kawasan sekitar namun tidak dijumpai.

"Pemeriksaan lanjut terhadap bot terbabit menemui 21 PATI warga Indonesia yang dipercayai cuba keluar dari Malaysia secara tidak sah.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 18 lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun, manakala bot laju dengan sebuah enjin sangkut turut dirampas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 4:00 PM