DUA daripada empat nelayan yang ditahan kerana menangkap ikan tanpa permit. FOTO ihsan PPM
DUA daripada empat nelayan yang ditahan kerana menangkap ikan tanpa permit. FOTO ihsan PPM
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor membanteras aktiviti menangkap ikan tanpa permit sah dengan menahan empat individu termasuk dua warga asing di pantai Pontian dekat sini, petang semalam.

Dalam Ops Gelora pada 3.30 petang itu, polis menahan dua lelaki berstatus penduduk tetap dan dua lagi warga Indonesia yang semuanya berusia 35 hingga 50 tahun.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, semua yang ditahan didapati menangkap ikan tanpa permit di dua batu nautika pantai Pontian.

Beliau berkata, bot ronda PPM yang sedang membuat rondaan di kawasan itu menahan dua bot nelayan pukat jaring tempatan sebelum membuat pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan, terdapat dua lelaki berstatus penduduk tetap dan dua warga Indonesia yang menggunakan pas lawatan di dalam bot berkenaan dan didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa permit yang sah.

"Keempat-empat lelaki ini ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan bekerja sebagai nelayan tanpa permit yg sah di bawah Akta Perikanan 1985," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 11:08 AM