RM Azrull Hisyam  dibawa oleh anggota polis ke Mahkamah Majistret Muar atas pertuduhan membunuh anggota polis pada 30 April lalu. FOTO Syarafiq Abd Samad
RM Azrull Hisyam dibawa oleh anggota polis ke Mahkamah Majistret Muar atas pertuduhan membunuh anggota polis pada 30 April lalu. FOTO Syarafiq Abd Samad
Ibrahim Isa


Muar: Peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang anggota polis dalam kejadian di Sungai Abong, hujung bulan lalu.

Tertuduh, RM Azrull Hisyam Hussin, 32, lengkap berpakaian lokap polis bewarna oren dituduh melakukan perbuatan itu di dalam longkang di tepi Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong di sini, 30 April lalu.

RM Azrull Hisyam kelihatan tenang dan mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Koperal Roydin Jamaluddin di lokasi itu antara 7.45 pagi hingga 8.30 pagi pada 30 April lalu dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham yang memohon tarikh sebutan semula kes.

Suzana kemudiannya menetapkan 14 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 12:53 PM