Aziman Rosdi

Johor Bahru: Tonggak pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Aidil Zafuan Radzak berharap nasib malangnya setiap kali mahu beraksi pada perlawanan penting tidak berulang selepas layak ke pentas final Piala FA menentang PKNS di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Sejak menyertai pasukan Harimau Selatan itu pada 2012, Aidil, 28, sudah terlepas dua aksi final Piala FA 2013 dan Piala Malaysia 2014 akibat digantung perlawanan.

Kali ini dia berharap dapat berpeluang bermain untuk menebus kekecewaan tumpas kepada Kelantan 0-1 di pentas akhir tiga tahun lalu.

“Memang selalu saya tidak bernasib baik, bila perlawanan penting seperti final mesti tak dapat bermain.

“Harap-harap kali ini saya dapat bermain tapi selagi belum sampai hari final itu, saya tidak mahu meletakkan harapan tinggi,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang Seri Gelam semalam.

Final Piala FA menentang kelab Liga Perdana PKNS akan menjadi final ketiga buat Aidil yang pernah menjulang kejuaraan bersama Negeri Sembilan pada 2010.

Bagaimanapun Aidil tidak mahu mengambil mudah tentangan PKNS yang dilihat mampu melakukan kejutan.

“Memang kami ada kelebihan dari segi penyokong tapi semuanya bergantung kepada persembahan pemain. Kami tidak boleh pandang rendah keupayaan PKNS kerana mereka memiliki pemain bagus terutama penyerang import.

“Piala FA amat penting untuk hadiah kepada penyokong kerana kami tidak pernah menang lagi, jadi semua pemain perlu memberikan aksi terbaik,” ujar pemain kebangsaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 7:55 AM