JENAZAH selamat tiba. FOTO Wan Asrudi Wan Hasan
JENAZAH selamat tiba. FOTO Wan Asrudi Wan Hasan
Wan Asrudi Wan Hasan dan Muhamad Izzat Nasuruden

.

Ipoh: Jenazah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohamad Khair-il Wan Ahmad, 56, tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh, 6.45 pagi tadi.

Jenazah dibawa menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Lapangan Terbang Kuching, Sarawak.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim mencemar duli menyambut ketibaan jenazah.

Sebaik tiba, kedua-dua Tuanku terus menaiki pesawat bertemu ahli keluarga Allahyarham serta mengaminkan doa.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; serta Exco Kerajaan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Pesawat membawa jenazah turut dinaiki isteri Allahyarham, Datin Mastura Yazid, 55, serta empat anak mereka, Wan Muhammad Amar, 19; Wan Iskandar, 23; Wan Imar Izzat, 25; dan Wan Emir Astar, 26.

Kira-kira lebih 200 termasuk ahli keluarga dan kenalan turut berada di LTSAS.

Suasana pilu menyelubungi LTSAS apabila isteri Allahyarham tidak dapat menahan sebak hingga terpaksa ditenangkan ketika jenazah diturunkan dari pesawat.

Jenazah akan di bawa menaiki van ke Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar untuk disembahyangkan dan dikebumikan di sana.

Wan Mohamad antara enam daripada mangsa nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada Khamis lalu.

Jasad beliau ditemui pada 6.15 petang semalam dan tiba di Hospital Umum Sarawak 9.50 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 8:34 AM