Jenazah Habibah selamat tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
Jenazah Habibah selamat tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
Oleh Siti A'isyah Sukaimi

Sepang: Jenazah isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datin Habibah Mahmud yang terbunuh dalam nahas helikoper terhempas di atas bangunan sekolah di utara Lembah Naltar, Pakistan minggu lalu selamat tiba di tanah air, 9.25 malam tadi.

Jenazah dibawa menggunakan pesawat C130 milik tentera udara Pakistan dari Islamabad ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Turut berada dalam pesawat, suaminya Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar.

Hadir sama, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin dan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Syed Hassan Raza serta ahli keluarga Allahyarham

Jenazah dibawa menaiki van ke rumah adik Allahyarham di Muar, Johor dan dijangka dikebumi jam 8 pagi esok di Tanah Perkuburan Parit Yusof Darat, Kampung Parit Masjid, Muar.

Sebelum ini, media melaporkan isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan antara enam yang terbunuh apabila helikopter yang dinaiki terhempas ke atas sebuah sekolah di utara Lembah Naltar, Pakistan.

Dr Hasrul Sani cedera dan dirawat di Hospital Gilgit.

Turut terbunuh dalam nahas berkenaan adalah isteri Duta Indonesia, Duta Norway dan Duta Filipina serta juruterbang dan pembantu juruterbang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:44 PM