Freddie syor Gafim dibubarkan kerana tidak lagi dapat sokongan majoriti. FOTO NSTP
Freddie syor Gafim dibubarkan kerana tidak lagi dapat sokongan majoriti. FOTO NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk terus menerajui Finas buat satu penggal lagi dan menolak sama sekali cadangan Gabungan Persatuan Karyawan Filem (Gafim) yang meminta tindakan diambil terhadap Kamil atas alasan yang tidak munasabah.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, Karyawan melihat Kamil berjaya membawa pembaharuan yang penting dalam tempoh setahun setengah beliau menggalas jawatan itu.

"Antara yang sudah dilakukan ialah mengadakan dialog bulanan dengan industri secara langsung untuk mendengar pandangan pemain industri kreatif sendiri.

"Beliau juga berjaya memperkenalkan semula skim insentif filem cereka yang digantung sebelum ini. Selain itu beliau juga berjaya membawa pembangunan ketara kepada pembangunan industri filem, termasuk menggalakkan penerbitan dari Sabah dan Sarawak.

"Selepas Kamil mengambil alih Finas, industri filem sudah melihatkan beberapa filem yang mencapai Box Office cemerlang seperti Munafik, Polis Evo, Ola Bola dan filem animasi Boboiboy," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Freddie berkata, Gafim tidak mewakili industri sepenuhnya kerana beberapa persatuan yang penting dalam industri, khususnya Persatuan Penerbit Filem atau PFM yang merupakan persatuan yang paling penting dalam industri yang mewakili penerbit filem, televisyen, animasi dan dokumentari tidak menjadi ahli Gafim.

"Karyawan sendiri tidak menjadi ahli Gafim sejak penubuhannya pada tahun 2000. Kami juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan beberapa individu dalam media sosial yang mengugut Kamil dan mengancam untuk bertindak kasar terhadap beliau.

"Tindakan seperti ini menunjukkan sikap dan mentaliti rendah yang di amalkan oleh sesetengah pihak.

"Dari dahulu Karyawan sudah membantah kewujudan kempen kurang bijak yang dianjurkan oleh Gafim seperti “Switch Off”. Karyawan melihat program ini sebagai satu usaha oleh pihak Gafim yang gagal kerana tidak berjaya membawa apa-apa perubahan kepada industri kreatif negara,” katanya.

Menurutnya, tindakan Presiden Gafim menghantar surat kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia tanpa pengetahuan presiden-presiden dalam gabungan adalah satu tindakan tidak profesional.

"Akibatnya lima persatuan dari 10 persatuan dalam Gafim mengumumkan keluar dari Gafim. Pandangan Gafim tidak lagi patut diambil kira oleh mana-mana pihak kerana persatuan yang berada di luar Gafim, iaitu PFM, Karyawan, Persatuan Pekerja Filem Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Penerbit Filem Ilan Malaysia (PPFIM), Persatuan Sinematografer Malaysia (MYSC) dan Persatuan Pos- Produksi & Animasi Malaysia (Postam) adalah suara majoriti pemain industri.

"Kami syorkan Gafim dibubarkan kerana tidak lagi mendapat sokongan majoriti pemain industri” kata Freddie.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 4:31 PM