MANE (dua dari kanan) menjaringkan gol ketiganya.
MANE (dua dari kanan) menjaringkan gol ketiganya.
AFP

Southampton, England: Manuel Pellegrini menegaskan beliau tidak menyesal membuat lapan pertukaran dalam skuad Manchester City menjelang kunjungan ke Real Madrid pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara minggu ini.

Pengurus City itu mengakui kekalahan 2-4 di tangan Southampton di stadium St Mary’s mampu menjejaskan keyakinan ketika kelab Liga Perdana Inggeris itu bersedia untuk ke Stadium Bernabeu.

Namun Pellegrini yang kecewa dengan perlawanan dengan Southampton tidak diubah pada Jumaat atau Sabtu bagi membolehkan skuadnya membuat persediaan terbaik berkata, beliau tiada pilihan selain membuat rombakan besar-besaran bagi mempertahankan pemain utamanya.

“Kami sedar sebelum perlawanan itu mengenai risiko meletakkan seramai mungkin pemain yang kurang berpengalaman beraksi menentang pasukan mencabar namun kami perlu mengambil risiko itu kerana mempunyai perlawanan penting Rabu ini,” katanya.

“Mungkin jika kami bermain pada Sabtu, kami boleh meletakkan ramai pemain tetapi risikonya sama seperti Piala FA yang perlu kami hadapi.

“Saya akan melakukan perkara sama sekali lagi kerana kami berdepan perlawanan penting pada Rabu apabila kami bermain untuk menempah tiket ke final Liga Juara-Juara.

“Kami akan teruskannya dalam Liga Perdana Inggeris apa yang kami akan lakukan pada dua perlawanan berikutnya dalam empat pasukan teratas jadi ia satu risiko tetapi kami perlu menghadapinya.

“Saya sentiasa katakan cara terbaik untuk membuat persediaan perlawanan berikutnya adalah meraih kemenangan dan kerana itulah kami cemerlang sebelum menentang Paris Saint Germain dan Real Madrid, kami menang perlawanan sebelumnya pada Liga Perdana Inggeris.

“Hari ini saya tidak tahu mengapa pertahanan kami begitu teruk pada separuh masa pertama, dua gol berkenaan menentukan keputusan perlawanan. Kami menjaringkan satu gol, kami mempunyai peluang baik untuk menyamakan kedudukan namun gagal dan selepas itu gerakan set piece menentukan keputusan.”

Pellegrini tidak menyembunyikan kekecewaannya berikutan aksi bertahan pasukannya apabila jaringan hatrik Sadio Mane selepas jaringan pembukaan Shane Long memastikan kejayaan Southampton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 9:20 AM