AFP

Leicester: Manuel Pellegrini memberitahu pemain bintang Manchester City supaya meneruskan rentak membanggakan Liga Juara-Juara ketika mereka tampak mampu mengatasi pendahulu Liga Perdana Inggeris Chelsea.

Kemenangan 2-0 City di Roma, Rabu lalu membolehkan mereka layak ke pusingan kedua Liga Juara-Juara, selepas mereka gagal memenangi empat perlawanan pertama peringkat kumpulan.

Namun bagi Pellegrini, mempertahankan takhta Liga Perdana menjadi keutamaan mereka.

Pengurus City itu bertekad mengekalkan tekanan ke atas pendahulu, Chelsea yang kini hanya tiga mata terpisah selepas rekod tanpa kalah mereka lebur di Newcastle hujung minggu lalu.

“Perkara paling penting sekarang memberi tumpuan kepada aksi Liga Perdana. Kami tidak perlu bimbang dengan perlawanan Liga Juara-Juara sehingga Februari,” kata Pellegrini menjelang kunjungan mereka bagi menghadapi pasukan tercorot Leicester.

“Kami akan bermain empat lagi perlawanan Liga Perdana dalam bulan ini, penting buat kami mengumpul seberapa banyak mata untuk mengejar Chelsea. Kami mempunyai 12 mata untuk diraih dan minda kami harus 100 peratus fokus.”

City akan cuba mendapatkan mata yang mereka kehendaki itu tanpa penjaring terbanyak Sergio Aguero yang berehat empat hingga enam minggu kerana kecederaan ligamen lutut, manakala kapten Vincent Kompany mungkin sekali lagi terpaksa disisihkan untuk pertemuan dengan Leicester.

Tetapi mereka masih berupaya menewaskan Roma tanpa Aguero yang menjaringkan 19 gol musim ini dan Pellegrini terus menekankan yang kekuatan City bukannya terletak pada seorang pemain.

“Seperti Cristiano Ronaldo di Real Madrid dan Lionel Messi di Barcelona, Sergio juga pemain yang sangat penting,” kata Pellegrini.

“Tapi kelab ini bukannya bergantung kepada seorang pemain. Kami mempunyai ramai pemain hebat yang bertindak sebagai satu pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:07 AM