AFP

London: Segala perancangan Pep Guardiola untuk Manchester City pada saingan Liga Juara-Juara musim depan bakal menjadi taruhan ketika Manuel Pellegrini (gambar tengah) berdepan tugas sukar menentang Arsenal pada perlawanan yang disifatkan hidup mati buat anak buahnya.

City tersingkir pada separuh akhir Liga Juara-Juara selepas tewas 0-1 di Real Madrid sekali gus membuatkan pengurusan tertinggi kelab terdesak mahukan khidmat Guardiola.

Tetapi dengan Manchester United serta West Ham United semakin menekan, kedudukan City di tangga keempat yang juga slot terakhir untuk ke Liga Juara-Juara belum lagi selamat dan jika ditewaskan pasukan di tangga ketiga Arsenal, ia akan membuatkan Guardiola terpaksa memikirkan saingan Liga Europa pada musim pertamanya di Stadium Etihad.

Pellegrini dikritik hebat kerana merehatkan beberapa pemain utamanya ketika tewas 2-4 di tangan Southampton minggu lalu tetapi beliau berkata: “Saya rasa penting bagi kami untuk ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Saya akan menamatkan kontrak di sini tapi itu bukan perkara utama yang perlu dirisaukan.”

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:43 AM