HODAK akui tidak ada wakil KAFA hubunginya.
HODAK akui tidak ada wakil KAFA hubunginya.

Kuala Lumpur: Pengendali dari Croatia Bojan Hodak mengakui ‘dirisik’ sebuah pasukan Liga Malaysia (Liga M) namun menafikan bakal kembali ke Kelantan.

Menurutnya, setakat ini tiada sebarang perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) selain beliau menganggap ia hanya spekulasi mengaitkan dirinya sebagai pengganti K Devan.

“Saya tidak tahu mengenai cerita ini kerana tidak ada sesiapa (wakil KAFA) menghubungi saya. Tapi saya fikir Kelantan dalam kedudukan baik kerana mereka mencatat dua kemenangan dan satu seri sebelum ini,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Kem skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQP TRW) dilaporkan panas dengan spekulasi dicetuskan beberapa laman sosial penyokong mereka yang mendakwa Devan bakal digantikan dengan bekas jurulatih Kelantan itu susulan rasa tidak puas hati dengan persembahan pasukan.

Bagi penyokong, mereka menganggap Devan gagal melakukan perubahan besar kepada pasukan apabila sekadar menang tipis 1-0 ke atas wakil Liga FAM UKM dalam saingan Piala FA Sabtu lalu.

Bagaimanapun penasihat KAFA Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Dr Vida sudah memberi kenyataan yang melegakan Devan apabila mengesahkan kerusi panas itu kekal disandang bekas jurulatih Negeri Sembilan dan Selangor itu.

Hodak yang pernah membimbing Kelantan memenangi tiga kejuaraan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA pada 2012 serta Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Liga Super 2012 berkata, beliau bersedia kembali dalam kancah Liga M jika mendapat tawaran menarik.

“Memang saya ada dihubungi sebuah pasukan Liga Malaysia dua hari lalu. Tapi saya tidak mahu dedahkan lagi pasukan itu. Sebelum ini saya hanya menumpukan untuk mendapatkan jawatan jurulatih Malaysia tapi tidak berjaya, jadi sekarang saya sedia berbincang dengan mana-mana pasukan.

“Jika ada tawaran menarik, saya sedia pertimbangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 8:21 AM