BUKAN sahaja lazat tetapi menarik.
BUKAN sahaja lazat tetapi menarik.
KEK dihasilkan Siti Sarah atas jenama Zara Home Made.
KEK dihasilkan Siti Sarah atas jenama Zara Home Made.
ANTARA kek yang dihasilkan.
ANTARA kek yang dihasilkan.
SITI Sarah wanita cekal buktikan suri rumah juga mampu berjaya dalam bidang diminati.
SITI Sarah wanita cekal buktikan suri rumah juga mampu berjaya dalam bidang diminati.
Siti Nadirah Hafidzin

Mula meminati bidang pembuatan kek sejak berusia 14 tahun apabila sering kali membantu ibu tercinta yang turut mempunyai minat sama.

Bermula dari situ, wanita cekal ini mula menanam azam serta tekad untuk berkecimpung dalam bidang itu secara serius suatu hari nanti.

Ternyata impian tidak tinggal angan-angan apabila kini dia berjaya membuktikan minatnya dalam bidang pembuatan kek berjaya membuahkan hasil lumayan.

Siti Sarah Razalli, 28, yang mengusahakan perniagaan kek atas jenama Zara Home Made kini mampu tersenyum gembira apabila dia dapat menjana pendapatan melalui minatnya itu.

Menurut Siti Sarah yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin & Multimedia, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), dia mula serius dalam perniagaan itu selepas tamat pengajian.

“Selepas mendapat ijazah, suami meminta saya untuk menjadi suri rumah. Ketika itulah saya mula memikirkan bagaimana hendak menjadikan hobi (membuat kek) sebagai satu sumber pendapatan.

“Bermula daripada itu, saya serius menghasilkan kek hampir setiap hari dan lama kelamaan saya menerima tempahan memberangsangkan daripada saudara-mara dan kenalan,” katanya.

Siti Sarah berkata, dia tidak mengikuti mana-mana kelas membuat kek. Ilmu yang ada diturunkan oleh ibunya selain dia sendiri tidak jemu belajar teknik membuat kek yang betul melalui Internet dan YouTube.

“Saya juga banyak meluangkan masa untuk menambah baik setiap kek yang saya hasilkan bagi memastikan ia menepati selera dan kehendak pelanggan,” ujarnya.

Atur masa sebaik mungkin

Menguruskan rumah tang­ga terutama dengan kehadiran dua cahaya mata yang masih kecil memerlukan Siti Sarah untuk bijak dalam soal pembahagian masa.

“Disiplin diri amat penting. Saya mengamalkan pembahagian masa sebaik mungkin dan mula membuat kek selepas suami keluar bekerja jam 8 pagi setiap hari.

“Ketika membakar kek, saya akan buat kerja lain seperti mengemas rumah. Memang saya sudah biasa buat dua kerja dalam satu masa. Saya pastikan semuanya siap (tempahan kek dan mengemas rumah) sebelum anak bangun daripada tidur,” katanya tersenyum.

Dia akan menyambung semula semua tugas dan menyiapkan tempahan pada waktu malam iaitu selepas selesai menunaikan solat Isyak.

“Ketika itu, suami mengambil alih tugas menjaga dan menguruskan anak, namun ada kalanya mereka juga membantu saya menyiapkan tempahan.

“Syukur, kerana suami amat memahami dan memberi sokongan kuat untuk saya terus berjaya dalam bidang ini,” katanya.

Menurutnya, soal penat pastinya ada, namun dia tidak menjadikan perkara itu sebagai halangan untuknya berjaya.

“Apa juga pekerjaan dilakukan pastinya merasa penat, tetapi saya jadikan ia sebagai dorongan untuk terus berusaha bagi membuktikan penat lelah saya selama ini membuahkan hasil,” katanya.

Aneka kek lazat

Bagi memberi pilihan kepada pelanggan, Siti Sarah mengakui perlu mempelbagaikan produk kek yang lazat. Dia kini menerima tempahan menyediakan kek perkahwinan, kek cawan, kek hari lahir, kek pelbagai perisa di dalam bekas seperti keju, coklat, tiramisu dan pandan keju.

“Saya juga menerima tempahan menyediakan pavlova, kek coklat brownies selain pelbagai lagi jenis kek yang berdekorasi mentega dan krim serta keju.

“Antara kek yang menerima tempahan paling menggalakkan adalah kek coklat indulgance yang dijual dengan harga RM40 untuk 800 gram, RM75 untuk 1.5 kilogram (kg) dan RM95 untuk dua kg,” katanya.

Siti Sarah berkata, tempahan diterima kini amat menggalakkan kerana setiap hari dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.

“Saya mempunyai ramai pelanggan tetap dan mereka biasanya mengulangi tempahan. Disebabkan itu, saya amat menjaga setiap kualiti rasa kek saya kerana ia mempengaruhi pelanggan sama ada untuk hanya membeli sekali atau mengulang tempahan,” ujarnya.

Buat masa ini, perniagaan Zara Home Made dijalankan di rumah Siti Sarah di Kampung Delek Kanan, Klang, Selangor.

“Kini saya dan suami dalam perancangan membuka kedai kek mini yang dirancang selewat-lewatnya dibuka sebelum kedatangan Ramadan ini.

“Saya berharap perniagaan ini terus berkembang maju dan dengan adanya kedai kek mini itu nanti membolehkan pelanggan untuk datang terus ke kedai bagi mendapatkan kek kesukaan mereka,” katanya.

“Setiap individu mampu berjaya jika dapat melakukan perkara yang diminati. Namun perkara paling penting ialah jauhi sikap malas yang akan merosak­kan segala usaha kita.

“Jika individu lain mampu berjaya pastinya saya juga boleh dan saya akan berusaha bersungguh-sungguh menghasilkan kek lazat yang memuaskan hati pelanggan,” ujarnya.

Semua koleksi kek yang dihasilkan Siti Sarah boleh didapati dengan melayari laman Facebook Zara Home Made.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 6:36 AM