HUSPALITA bersama antara resipi kek keju yang dihasilkannya.
HUSPALITA bersama antara resipi kek keju yang dihasilkannya.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Deretan kek keju pelbagai perisa tersusun cantik dalam peti sejuk berpintu kaca di hadapan rumahnya seolah-olah menyambut tetamu dengan bau enak yang pasti menggoncang perasaan terutama bagi peminat manisan dan hidangan pencuci mulut.

Memperuntukkan hampir sebahagian besar masanya menyiapkan tempahan pelanggan, pemilik perniagaan kek keju dalam talian, Cheesylogy, Huspalita Hussain Arif, 33, mengakui dia tetap menyayangi tugas di pejabat dan masih bertugas sebagai juruprogram di sebuah syarikat swasta.

Huspalita bertuah kerana dia memiliki ketua yang mudah dibawa berbincang, memahami minatnya dalam bakeri dan menggalakkannya meneruskan perniagaan.

Ketuanya yang berasal dari Jerman, tidak sanggup kehilangan pekerja berdedikasi seperti Huspalita, malah membenarkan wanita itu hanya hadir ke pejabat tiga hari dalam seminggu.

Sikap ketuanya yang memberi galakan, sokongan padu dan memahami, menguatkan lagi semangat Huspalita untuk berjaya sebagai pengusaha kek keju disegani di negara ini.

Dia yang mahir membuat 40 jenis kek keju memberitahu, semuanya bermula sekitar 2006 selepas mempelajari resipi membakar kek keju daripada seorang ibu saudaranya.

Huspalita berkata, pada awalnya dia hanya membawa kek ke pejabat untuk dikongsi bersama rakan dan menjualnya secara suka-suka, namun tidak disangka kek kejunya mendapat permintaan ting­gi.

Lebih menarik, setiap kek kejunya adalah adunan resipinya sendiri yang unik dan antara yang popular dalam kalangan pelanggannya iaitu kek keju Black­forest, Nutella dan Durian.

“Saya memang sukakan kek keju dan sehingga kini, sudah ada 100 resipi kek keju, namun untuk perniagaan, saya hanya menawarkan 40 jenis kek keju.

“Apa yang mendorong saya berniaga biarpun masih memiliki pekerjaan tetap kerana perasaan seronok apabila ada orang yang membeli dan suka dengan kek keju saya.

“Biarpun pada mulanya saya hanya suka-suka, pada akhir 2013 saya membuat keputusan untuk lebih serius dan fokus mengambil tempahan selain mula mengadakan kelas memasak kek keju,” katanya.

Atas permintaan pelanggannya yang mahu mempelajari cara membakar pelbagai resipi kek keju yang betul, Huspalita menawarkan kelas peribadi antara seorang hingga enam pelajar selain kelas demonstrasi yang dibuka kepada 30 pelajar pada satu masa.

Tetap menitikberatkan soal keluarga biarpun sibuk, ibu kepada dua anak kecil itu menjalankan perniagaan dan kelasnya di rumah dengan seorang pembantu.

Namun, kerana tidak mahu menghampakan pelajar dari negeri lain yang tidak dapat datang atas faktor jarak dan masa, Huspalita turut ke seluruh negara setiap minggu untuk berkongsi ilmu dengan mereka yang berminat.

10 kek satu malam

“Kehidupan saya sememangnya sangat sibuk dengan urusan harian, menyiapkan tempahan dan berurusan dengan pelanggan serta pelajar. Ada kalanya memang rasa tertekan dengan cabaran yang mendatang.

“Namun kerana minat mendalam pada pembuatan kek keju selain perniagaan ini antara cara saya untuk meningkatkan ekonomi keluarga, saya teruskan mengambil tempahan. Kini saya bercadang menambah lagi pembantu supaya saya mempunyai lebih masa bersama anak,” katanya.

Setiap hari, sebaik pulang ke rumah kira-kira jam 6.30 petang, Huspalita akan berehat seketika dan selesai menunaikan solat Maghrib, dia akan mula ‘beraksi di dapur’ menyiapkan tempahan pelanggan bersama pembantunya.

Dalam satu malam, Huspalita boleh menyiapkan kira-kira sembilan hingga 10 kek dan setiap tempahan yang diambil akan disiapkan dalam tempoh lima hari.

Biarpun lebih gemar pelanggan datang mengambil sendiri kek mereka di rumahnya, dia turut menawarkan perkhidmatan penghantaran menggunakan peti sejuk beku kepada pelanggan di seluruh negara.

“Selain tempahan, setiap minggu saya akan hasilkan stok sedia dibeli daripada 12 jenis kek keju yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan kerana tahu pasti akan habis terjual.

“Jika dulu, saya pernah tidur sehingga jam dua pagi setiap hari kerana mahu menyiapkan tempahan namun kini melalui pengurusan masa lebih baik, saya dapat menyiapkan lebih awal termasuk tempahan kek perkahwinan.

“Saya memiliki ratusan pelanggan tetap jadi tempahan tidak lagi mengikut musim, tetapi ia datang setiap hari,” katanya yang turut memaparkan kek keju dihasilkannya di Instagram/ cheesylogy_huspalita dan Facebook/cheesylogy.

Huspalita bertuah kerana mendapat sokongan kuat suami, Mohamed Airee Sulaiman, 33, yang sentiasa membantu meringankan kerjanya dengan bertindak sebagai pembantu yang keluar membelikan semua bahan untuk memasak kek keju.

Malah, suaminya juga banyak membantu dengan menguruskan anak-anak, Hazrat Adlee Mohamad Airee, 7, dan Hessa Ardinee Mohamad Airee, 3, seterusnya menjadi dorongan kuat kepada Huspalita terus membina dan mengukuhkan perniagaannya.

Wanita bijak itu juga tidak hanya bergantung kepada kelas secara fizikal untuk mengajar cara memasak kek keju, malah antara kelasnya yang popular adalah melalui aplikasi WhatsApp dengan pelajar seramai 50 orang pada satu masa.

Sehingga kini dia sudah memiliki kira-kira 700 pelajar yang menggunakan aplikasi itu untuk mendapatkan ilmu mengenai kek keju, di mana mereka dapat melihat langkah demi langkah proses memasak selain mempunyai kebebasan bertanya apa saja mengenai kek keju dalam kelas yang berlangsung hampir dua jam itu.

Selain kek keju, Huspalita turut menjual piza, spagheti karbonara, popia keju dan samosa keju dengan resipi dihasilkan sendiri untuk kepuasan pelanggannya.

Dia berbangga kerana ada beberapa pelajarnya sudahpun memiliki bakeri sendiri, selain ramai yang memfokus kepada perniagaan talian.

Huspalita turut menjual e-resipi dengan harga RM100 setiap satu melalui emel, siap dengan gambar dan arahan teliti.

“Biarpun banyak yang saya lakukan dalam satu masa, saya tidak rasa tertekan kerana mendapat sokongan kuat suami selain memiliki ketua yang memahami.

“Saya masih ke tempat kerja seperti biasa tiga hari dalam seminggu atas budi bicara ketua yang suka melihat pekerjanya berusaha memperbaiki tahap ekonomi keluarga sendiri.

“Perancangan saya pada masa depan adalah memiliki rumah kedai supaya dapat menempatkan dapur me­nyiapkan tempahan selain lebih mudah dan selesa untuk pelajar yang menghadiri kelas memasak kek keju,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 5:22 AM