MENGGODA hidangan Lamb Shoulder Chop.
MENGGODA hidangan Lamb Shoulder Chop.
IZA dan Hafiz bersama Carbonara di Thymes Cafe.
IZA dan Hafiz bersama Carbonara di Thymes Cafe.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Hanya pernah mendengar nama mi kolok, namun rupa mahupun rasanya belum pernah dilihat serta dicuba. Justeru kunjungan ke Thymes Cafe di Bandar Putra Perdana, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini, memberi peluang merasai makanan tradisional itu.

Kafe diasaskan penyanyi popular, Hafiz Mohd Suip dan kini diuruskan adiknya selaku pemilik bersama, Iza Sufiza, mula menyajikan menu popular dari Bumi Kenyalang terbabit, awal tahun ini, sebagai menu bermusim di samping hidangan laksa Sarawak.

Menurut Iza, konsep asal kafe berkenaan menyajikan hidangan Barat namun sering dilawati pengunjung yang mencari hidangan Sarawak disebabkan Hafiz berasal dari negeri terbabit.

“Satu perkembangan baik buat kru Thymes Cafe kerana mendapat maklum balas mahupun cadangan mengenai hidangan yang patut disajikan dalam seleksi hidangan kami menerusi pelanggan.

“Justeru kami sebelum ini memberi fokus kepada sajian Barat turut menyelit menu tradisional Sarawak apabila mendapat permintaan pelanggan mahupun peminat Hafiz sendiri. Menariknya, resipi mi kolok adalah warisan keluarga. Jadi ini nostalgia hidangan kami sekeluarga yang dikongsi bersama orang luar,” katanya.

Tambah Iza, hidangan disajikan kepada pengunjung mendapat sentuhan cita rasa seperti masakan di rumah tetapi kualiti servis setaraf produk di restoran mahupun hotel.

“Setiap pengunjung merasai hidangan seperti Lamb Shoulder Chop dan Carbonara seperti menu di rumah. Namun segi penyediaannya termasuk elemen setiap hidangan, kualiti ditawarkan bertaraf hotel, contohnya kesegaran mahupun konsep makanan dihidangkan di meja,” katanya sambil menambah, setiap hidangan dimasak tunangnya, Noraziman Mohd Badrol Azhar, 29, selaku chef kafe berkenaan.

Cabaran dihadapi Iza adalah mengekalkan keaslian rasa menu pada hidangan tradisional.

“Paling sukar adalah mendapatkan pes laksa serta mi khas untuk masakan mi kolok di Semenanjung. Setakat ini pes masakan laksa Sarawak memang dibawa khas dari Kuching.

“Namun, untuk mi kolok, kami mencari mi yang hampir menyerupai rasa mi kolok sebenar dan resipinya masih menggunakan bahan tradisional kami seperti di Sarawak. Jadi rasanya hampir sama dengan juadah mi terbabit di kampung halaman kami,” katanya.

Istimewa bagi puasa tahun ini, Iza berkata, Thymes Cafe bakal menyajikan makanan tradisional yang sering disediakan menjelang Ramadan di Sarawak iaitu bubur pedas serta sotong tutuk.

Hafiz buat kajian sebelum buka kafe

Penyanyi muda, Hafiz Suip kembali bersama Adira AF menerusi lagu runut bunyi ‘Pilot Cafe’ berjudul ‘Untuk Cinta’ nurkilan Nurzaidi Abd Rahman. Antara berita baik disampaikan untuk bingkisan terbaru daripadanya.

Selain itu, dia yang rancak dengan komitmen selaku duta produk kesihatan terbaru ialah produk Sophie Secret, bercerita mengenai perancangan melancarkan single terbaru dijangka pertengahan tahun ini.

Di sebalik kesibukan karier seninya, Hafiz sedia berkongsi perkembangan perniagaan makanan menerusi Thymes Cafe yang dibuka tahun lalu.

Katanya, atas permintaan ramai, kafe yang kini bawah seliaan adiknya menyediakan menu terbaru iaitu makanan tradisional Sarawak, mi kolok dan laksa Sarawak.

“Kalau peminat saya yang datang, mereka akan membuat pesanan hidangan mi kolok dan laksa Sarawak kerana mereka tahu saya berasal dari Kuching. Awalnya kami tiada menu terbabit kerana perancangan cenderung kepada hidangan Barat.

“Itu adalah kelebihan kami. Malah, saya sendiri peminat hidangan Barat dan berasa kami ada kemahiran dalam menyediakan juadah berkenaan.

“Namun melihat permintaan terhadap menu berkenaan tidak putus-putus, kami memasukkan menu sebaik menyedari ada kru dapur yang juga ahli keluarga kami dari Sarawak mahir menyediakan masakan itu. Pada saya, apa salahnya menu itu dimuatkan dalam senarai menu kami ada.

“Maklum balas kami terima sungguh memberangsangkan iaitu mi kolok kami unik, namun elemen tradisional pada hidangan berkenaan masih dikekalkan,” katanya.

Mengenai standard penyediaan makanan terbabit, Hafiz berkata, dia serius dengan peniagaan kafe berkenaan. Malah, dia membuat kaji selidik bermula daripada ramuan masakan hinggalah dekorasi ruang dalam kafe.

“Memasak dan makanan adalah minat saya serta keluarga. Kami menghargai setiap elemen itu, terutama apabila ia dihidangkan pada standard kafe.

“Kami sangat terperinci, termasuk penggunaan ramuan segar dan bukan sejuk beku mahupun segera. Meskipun hidangan sampingan seperti kentang lecek, pembuatan kuahnya kami buat daripada asas demi menjaga kualiti hidangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:05 AM