Nadzim mendengar keluhan mangsa penipuan perancang perkahwinan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Nadzim mendengar keluhan mangsa penipuan perancang perkahwinan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Lebih 60 pasangan mendakwa ditipu sebuah syarikat perancang perkahwinan membabitkan kerugian RM1,000 hingga RM3,000 setiap pasangan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, mangsa yang terpedaya dengan pakej murah ditawarkan di ekspo perkahwinan diminta membayar deposit RM200 dan bakinya dalam masa 30 hari mengikut kategori yang dipersetujui.

Katanya, pakej ditawarkan itu termasuk solekan, baju pengantin dan pelamin.

"Bagaimanapun pada hari perkahwinan, pakaian disediakan tidak seperti dijanjikan, malah ada pasangan yang terpaksa mencari baju lain di saat akhir.

"Syarikat ini sering menyertai ekspo perkahwinan di bandar utama dan menggunakan nama syarikat berbeza," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, ada antara mangsa sudah memfailkan kes di mahkamah dan menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tawaran tidak logik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 7:59 PM