RAFIZAH (tengah) dan penganjur bersama promosi 50,0000 kad kahwin percuma.
RAFIZAH (tengah) dan penganjur bersama promosi 50,0000 kad kahwin percuma.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Dalam usaha membantu pasangan mempelai mengurangkan kos perkahwinan, sebuah syarikat percetakan di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang menawarkan 50,000 kad kahwin percuma bernilai keseluruhan RM60,000.

Pemilik Syarikat Nano Smart Services Sdn Bhd Nor Rashid Abd Rahman berkata, program anjuran kali kedua syarikat itu selepas program sulung pada tahun 2015 menerima sambutan baik membabitkan kira-kira 200 pasangan.

Menurutnya, kali pertama pihaknya hanya menawarkan 10,000 kad kahwin percuma dengan kebanyakan pasangan yang memberi sambutan adalah dalam kalangan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Katanya, pada kali ini, pihaknya menyasarkan lebih 300 pasangan bakal mempelai dari seluruh negara dan tempoh pendaftaran bermula Mac hingga tempoh dua bulan bergantung kepada sambutan diterima.

“Program ini juga adalah sempena galeri perkahwinan Berani Kahwin milik isteri saya, Rafizah Abdullah di Kilang Bateri di Tampoi pada akhir tahun lalu.

“Kami bersyukur kerana selepas penganjuran program kali pertama, rezeki kami bertambah hingga membolehkan kami membuka galeri perkahwinan dan kami ingin berkongsi keuntungan serta beramal menerusi cara ini.

“Program ini menerima kerjasama Fikrah Photography dan Khai Bridal House yang turut menawarkan khidmat nasihat kepada bakal pengantin berkaitan penjimatan kos majlis perkahwinan menerusi pakej istimewa,” katanya.

Beliau berkata, bakal pengantin yang berminat boleh menghantar butiran mereka menerusi aplikasi WhatsApp dengan menaip ‘berani kahwin’ dan diikuti nama mereka ke 01118637506.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 8:02 AM