Guni berisi benih kerang yang dirampas. FOTO ihsan PPM
Guni berisi benih kerang yang dirampas. FOTO ihsan PPM
Mohd Hanafis Abdul Haris

Batu Pahat: Tujuh termasuk dua warga tempatan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Johor dalam dua serbuan berasingan selepas disyaki mengambil 495 kilogram benih kerang tanpa permit bernilai RM7,750 di persisiran Pantai Kelicap Batu Pahat, di sini, pagi tadi.

Ketujuh-tujuh lelaki berusia 26 hingga 52 tahun itu ditahan ketika sedang leka menyusun beberapa guni berisi benih kerang.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, operasi pertama membabitkan serbuan pada 5.45 pagi manakala operasi kedua pada 7.15 pagi.

Menurutnya, kedua-dua lokasi itu dipercayai menjadi tempat penginapan individu ini memungut benih kerang.

"Semua mereka didapati melakukan kesalahan memungut benih kerang tanpa permit. Selain itu empat daripada mereka yang juga warga Indonesia ditahan kerana tidak mempunyai dokumen yang sah.

"Tiga motosikal yang digunakan kumpulan terbabit turut dirampas dan kes kemudian diserahkan kepada Jabatan Perikanan Batu Pahat untuk tindakan lanjut, Tangkapan berdasarkan Akta Perikanan 1985 Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan Dan Kultur Laut) 2002," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:28 PM