Sebahagian benih kerang yang terkumpul untuk proses pemilihan gred. FOTO TOGI MARZUKI
Sebahagian benih kerang yang terkumpul untuk proses pemilihan gred. FOTO TOGI MARZUKI
Togi Marzuki


KIRA-kira 60 nelayan di Pontian Besar meraih pendapatan sampingan menerusi hasil tangkapan benih kerang.

Sejak 27 Julai hingga semalam, nelayan terbabit berjaya menaikkan benih kerang seberat 193.5 tan dengan nilai RM215,000 di Perairan Pontian Besar dan Api-Api.

Pengurus projek terbabit, Mazlin A Rahmad berkata, aktiviti menaikkan benih kerang itu dibuat selepas mendapat permit daripada Jabatan Perikanan, 24 Julai lalu.

"Pihak kami memasarkan benih kerang ke Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

"Harga pasaran benih mengikut gred, gred pertama setiap 1,200 biji seberat 600 gram pada harga RM1.60 sekilogram dan gred kedua setiap 800 biji seberat 600 gram pada harga RM1 sekilogram," katanya.

Nelayan, Kamalulail Abu Bakar, 36, berkata, perairan pantai berkenaan merupakan lokasi sesuai untuk pembiakan kerang selain berteluk dan berlumpur.

Beliau yang juga Pengerusi Komuniti Nelayan Pontian Besar berkata, aktiviti mengambil benih kerang dibuat secara tradisional dengan menangguk.

"Benih kerang yang hidup semulajadi di lokasi berkenaan secara langsung menjadi pendapatan sampingan kepada golongan nelayan selain tangkapan ikan.

"Proses menangguk dan pemilihan benih kerang mengikut gred dibuat secara bergotong-royong sekali gus meningkatkan semangat silaturahim antara mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 3:09 PM