Datuk Seri Dr Ahmad Hamzah (tengah) menunjukkan sijil MBOR bagi musim kejatuhan benih semulajadi kerang terpanjang (18 bulan) dan pendaratan benih kerang semulajadi terbesar (1,300 Metrik Tan)  pada Majlis Penyampaian Sijil Malaysia Book Of Record (MBOR) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Datuk Seri Dr Ahmad Hamzah (tengah) menunjukkan sijil MBOR bagi musim kejatuhan benih semulajadi kerang terpanjang (18 bulan) dan pendaratan benih kerang semulajadi terbesar (1,300 Metrik Tan) pada Majlis Penyampaian Sijil Malaysia Book Of Record (MBOR) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Sri Ayu Kartika Amri


Serdang: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menerima dua penganugerahan Malaysia Book of Records (MBOR) membabitkan Musim Kehadiran Benih Semulajadi Kerang Terpanjang dan Pendaratan Benih Kerang Semulajadi Terbesar dalam satu musim iaitu dari 4 November 2019 hingga 31 Mei 2021 di pantai Teluk Lekir, Perak.

Penganugerahan itu adalah hasil daripada kajian Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) sejak 2009 bermula dengan kajian oseanografi pantai yang bertujuan untuk menilai kesesuaian cadangan tapak ternakan kerang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, DOF berjaya menunjukkan kejutan suhu mampu mengaruhkan pembenihan kerang di makmal.

Katanya, sehubungan itu, satu kajian untuk mengesahkan dapatan di makmal dijalankan pada 2018.

"Sejumlah 10,000 kilogram induk kerang matang pelbagai saiz telah ditabur pada 16 Oktober 2018 di Teluk Lekir.

"Sehingga kini jumlah pendaratan benih kerang pada 2019 adalah sekitar 238.89 tan metrik.

"Terdapat tiga kaedah pembenihan aruhan kerang yang dilaporkan iaitu aruhan fizikal, kimia dan biologi," katanya di majlis penyerahan sijil MBOR kepada DOF di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2022, Taman Ekspo Pertanian Malaysia, di sini, hari ini.

Data pendaratan benih kerang di Teluk Lekir sebelum kajian adalah 20.97 tan metrik pada 2017 dan tiada pendaratan benih direkodkan pada 2016.

Sebelum projek pembenihan aruhan kerang oleh DOF, Teluk Lekir bukanlah satu lokasi kehadiran benih kerang yang terkenal berbanding Pontian dan Batu Pahat di Johor selain Sungai Bernam, Selangor dan Larut Matang, Perak.

Projek Kebun Kerang Lekir dilancarkan pada 2020 dengan menawarkan 25 lot dan diusahakan lapan hingga 10 penternak.

Selain di Lekir, projek yang sama juga sedang dilaksanakan di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang dan Merlimau hingga Sebatu, Melaka dengan kerjasama kerajaan negeri masing-masing.

Sementara itu, Ahmad berkata, industri kerang negara sedang dipulihkan semula dan Malaysia diharap kembali menjadi pengeluar kerang terbesar di Asia Tenggara seperti tahun 1980-an.

Beliau berkata, industri ini juga akan membantu menjana sumber ekonomi baharu terutama kepada golongan B40 yang terbabit dalam ternakan kerang.

"Selain itu, tiga model berkait dengan pembenihan aruhan turut dicadangkan iaitu Lokasi Pembenihan Aruhan (SISG), Musim Pembenihan Aruhan (SISS) dan Lokasi Kejatuhan Benih (SSFA).

"Ketiga-tiga model ini sedang diuji di beberapa lokasi di negeri lain dan telah menunjukkan 'output' yang baik seperti di Melaka.

"Kehadiran benih kerang dilaporkan buat pertama kali di pantai Merlimau, Melaka pada penghujung 2019.

"Kejayaan projek pembenihan aruhan juga menampakkan hasil dengan pendaratan kerang dewasa negara mula meningkat dari 2017 sehingga kini," katanya.

Beliau berkata, DOF juga dalam proses membangunkan kaedah teknik ternakan kerang yang lebih cepat di mana tempoh ternakan 18 hingga 24 bulan dipendekkan ke 8 hingga 12 bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 2:42 PM