Rome: Sassuolo melebarkan rekod tanpa kalah kepada tujuh perlawanan apabila bangkit menewaskan Hellas Verona 2-1 awal pagi semalam dengan Lazio terikat tanpa jaringan di Chievo Verona.

Kemenangan itu membolehkan Sassuolo berada di kedudukan kesembilan Serie A, satu mata mengatasi Inter Milan.

Verona gagal mencatatkan kemenangan dalam tujuh perlawanan selepas bermula baik pada awal musim dan keputusan semalam menyaksikan mereka kekal di kedudukan ke-13.

Pertahanan Greece, Vangelis Moras membantu Verona mendahului pada minit ketujuh menerusi tandukan hasil sepakan penjuru sebelum Nicola Sansone menyamakan kedudukan pada minit ke-50.

Bagaimanapun, pemain tengah dari Algeria Saphir Taider menolak masuk jaringan kemenangan pada minit ke-78 selepas menyambut hantaran Antonio Floro Flores.

Lazio mencipta sejumlah peluang namun tidak mampu mengatasi penjaga gol Chievo dari Argentina Albano Bizzarri namun sekurang-kurangnya membawa pulang mata selepas dua kali tewas berturut-turut.

Bizzarri melayangkan badan untuk menafikan cubaan Stefano Mauri pada minit ke-72 dan Stefan de Vrij pada minit ke-89.

Lazio kekal di kedudukan keenam manakala Chievo masih berada di zon penyingkiran. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:05 AM