ZETY tidak kekok turun padang untuk membantu kakitangannya. FOTO Aswadi Alias
ZETY tidak kekok turun padang untuk membantu kakitangannya. FOTO Aswadi Alias
Muhamaad Razis Ismail


Melihat kemampuannya berceloteh di media sosial berkenaan masalah kereta pasti ramai menyangka wanita ini adalah mekanik yang memiliki latar belakang yang luas dalam bidang automotif.

Apa tidaknya, penerangan yang diberikan Zety Ain Sakinah Mohamad Isqandar, 27, atau lebih dikenali sebagai Akak Bengkel cukup mudah dan jelas seolah-olah sudah lama terbabit dalam bidang itu.

Bagaimanapun, selepas diselidik, pengurus Zitas Synergy Garage ini sebenarnya adalah lepasan Ijazah Komunikasi Pemasaran Bersepadu dari Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL).

Zety membuktikan bahawa dengan usaha keras dan kesungguhan, wanita juga boleh berjaya dalam bidang yang didominasi lelaki.

BERBINCANG dengan pelanggan. FOTO Aswadi Alias
BERBINCANG dengan pelanggan. FOTO Aswadi Alias

Menariknya, biarpun memiliki jawatan tinggi dan mempunyai pilihan untuk berada dalam pejabat, Zety tidak kekok bergelumang dengan minyak bersama mekanik untuk memantapkan pengetahuannya dalam bidang itu.

Sebenarnya pembabitan awalnya dalam bidang automotif pada 2020, ketika usianya mencecah 23 tahun bertujuan membantu meneruskan perniagaan bapanya biarpun tanpa latar belakang bidang automotif.

Anak sulung daripada tiga beradik ini hanya belajar berkenaan selok-belok kenderaan selepas terjun ke bidang itu dengan mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan menyertai pelbagai kursus jangka pendek untuk memantapkan ilmu.

Zety berkata, selepas menamatkan pelajaran, dia lebih cenderung untuk terbabit secara serius dalam bidang korporat sebagai kerjaya pilihan.

Katanya, tidak pernah terdetik untuk terbabit dalam automotif kerana tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang itu biarpun bapanya memiliki bengkel kereta sejak 2018.

BERSAMA bapa yang sering memberi sokongan dan dorongan.
BERSAMA bapa yang sering memberi sokongan dan dorongan.

"Sebelum itu, saya hanya tahu memandu kereta dan apabila alami masalah perlu hantar ke bengkel untuk dibaiki.

"Bagaimanapun, saya mencabar diri terjun dalam bidang ini untuk membantu bapa yang keseorangan selepas bengkel mengalami masalah pekerja ketika negara dilanda Covid-19.

"Boleh dikatakan saya bermula daripada kosong dengan mengambil inisiatif belajar sendiri daripada mekanik dan mengambil SKM serta kursus jangka pendek kerana sebagai pengurus saya perlu tahu selok-belok bidang ini.

"Alhamdulillah selepas lebih empat tahun terbabit dalam bidang ini, kini saya sudah dapat membiasakan dan pada masa sama proses pembelajaran masih berjalan pada setiap hari ," katanya.

AKTIF menggunakan platform media sosial untuk berkongsi ilmu.
AKTIF menggunakan platform media sosial untuk berkongsi ilmu.

Bagaimanapun, Zety mengakui untuk sampai ke tahap itu tidak mudah kerana terpaksa menempuh pelbagai onak dan duri untuk terus kekal bertahan sehingga hari ini.

"Sepanjang tempoh itu, tanpa ilmu dan pengalaman, saya berdepan pelbagai kesukaran untuk meneruskan perniagaan ini sehingga mengalami tekanan, kebimbangan melampau dan pernah juga terfikir ingin membunuh diri.

"Namun, saya kekal bertahan dan untuk menenangkan diri saya akan menulis. Saya ambil masa sehingga tiga tahun untuk stabilkan diri dengan sentiasa ingatkan diri niat asal untuk membantu bapa meneruskan perniagaan ini," katanya.

ZETY (tengah) bersama kakitangannya. FOTO Aswadi Alias
ZETY (tengah) bersama kakitangannya. FOTO Aswadi Alias

Menurutnya, apabila terbabit dalam bidang automotif, tidak dinafikan dia berdepan stigma negatif segelintir pihak terhadap bengkel Bumiputera.

"Bagi mengatasi tanggapan negatif itu, saya mengambil inisiatif menaikkan imej bengkel dan mekanik. Antaranya adalah dengan menambah peralatan yang bersesuaian dan menjadikan bengkel lebih kemas serta menarik.

"Pada masa sama, mekanik dihantar menyertai kursus jangka pendek untuk menjalani latihan supaya mereka sentiasa bersedia berdepan segala masalah berkaitan kenderaan," katanya.

Pada masa sama, dia amat menitikberatkan kualiti perkhidmatan dan menjaga kepuasan pelanggan.

"Antaranya, kawalan kualiti (QC) dilakukan mekanik lain selepas kenderaan dibaiki untuk memastikan kesilapan dapat dielakkan.

"Apabila berdepan ketidakpuasan hati pelanggan, saya menggunakan cara diplomasi supaya masalah diselesaikan dengan baik," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Zety ingin terus mengembangkan perniagaannya ke peringkat lebih tinggi.

"Buat masa sekarang hampir semua kerja saya perlu lakukan sendiri kerana kekangan kakitangan. Kini saya mencari individu berkemampuan yang boleh mengambil alih beberapa tugas supaya saya boleh fokus untuk pembangunan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 7:00 AM