TINDAKAN enggan mengambil nafkah oleh golongan selebriti bukanlah satu trend sebaliknya hanya untuk memudahkan proses perceraian di mahkamah.
TINDAKAN enggan mengambil nafkah oleh golongan selebriti bukanlah satu trend sebaliknya hanya untuk memudahkan proses perceraian di mahkamah.
Oleh Norhayati Nordin


Sejak tahun lalu sampai sekarang, kisah membabitkan 'keretakan' rumah tangga pasangan selebriti hingga ke mahkamah syariah sentiasa muncul untuk mendapat liputan media.

Terbaru, kes yang muncul tiba-tiba dan agak mengejutkan sudah tentu permohonan cerai difailkan Dr Jezamine Lim iaitu isteri pelawak, Harith Iskander terhadap suaminya, baru-baru ini.

Tanpa diketahui punca menyebabkan permohonan cerai itu dibuat, pasangan yang pernah terserlah bahagia ini melayari bahtera rumah tangga mereka sejak 2010 serta dikurniakan tiga cahaya mata.

Bagaimanapun, baru-baru ini juga apa yang jadi perhatian adalah kes perceraian selebriti berlaku dengan isteri tidak menuntut sebarang nafkah seperti idah kepada suami walaupun dia berhak ke atasnya.

Apakah itu 'trend' bagi pasangan yang berhadapan krisis rumah tangga dan akan bercerai memilih untuk suami 'dilonggarkan' membayar nafkah idah kepada isteri selepas mencapai kata persetujuan bersama.

Peguam Syarie, Rezal Mazli Abdul Muin berkata, tindakan isteri yang tidak menuntut sebarang nafkah seperti idah buat dirinya bukanlah 'trend' untuk bercerai ketika ini, tetapi lebih kepada mempermudahkan urusan.

"Ia bukanlah 'trend' (isteri tidak tuntut nafkah idah), cuma sebagai mempermudahkan urusan (cerai). Maknanya, kadang-kadang nak tuntut nafkah idah tiga bulan, tapi proses perlu dilalui seperti nak ambil peguam, nak fail saman, masa itu agak panjang dan akhirnya tak dapat apa pun.

"Proses (cerai) juga menjadi lambat. Tapi, yang paling penting sebenarnya suamilah. Maknanya, kalau isteri itu punca kepada perbalahan, punca masalah, maknanya dia (suami) juga sepatutnya tidak menuntut," katanya.

Menurut Rezal Mazli, sekiranya apabila isteri memohon maaf di atas kesalahan dilakukan kerana sudah tidak mampu menjadi pasangan yang baik, maka suami kena akur untuk memaafkan serta melepaskan secara baik.

"Jadi, apabila kemaafan itu ada bagi kedua belah pihak suami dan isteri (yang nak bercerai) mestilah suami akan berasa lapang (hati) melepaskan isteri dengan urusan mereka yang sudah dipermudahkan.

"Apapun, sekali lagi ia bukan 'trend' (isteri tidak tuntut nafkah idah). Cuma, maknanya isteri itu kadang-kadang dia perlu 'menghalalkan' atau melepaskan haknya untuk memudahkan proses perceraian.

"Apapun, saya percaya kebanyakan mungkin apabila membabitkan selebriti ini (cerai) sebenarnya sudah ada proses perbincangan sebelumnya, yang mana ketika di mahkamah tidak perlu menceritakan bagaimana kaedah penyelesaian itu," katanya.

Menurut Rezal Mazli lagi, pastinya sudah ada peranan peguam syarie juga di situ yang mana kita mewakili kedua-dua belah pihak (suami dan isteri) sudah berbincang dengan baik untuk mereka mencapai kata penyelesaian sepakat.

"Namun, apa yang paling utama segala membabitkan anak-anak terutama nafkah, memang tetaplah ayah yang kena bayar atau lunaskan. Justeru, keharmonian kedua belah pihak dan lebih menjaga kebajikan anak diutamakan," katanya.

Kebelakangan ini, institusi kekeluargaan dan rumah tangga menjadi topik hangat perbincangan ramai terutama di media sosial apabila kepincangan berlaku itu membabitkan perkahwinan pasangan selebriti.

Walaupun permasalahan dalam perhubungan mungkin disebabkan tiada persefahaman, namun segelintir netizen pasti mengaitkan dengan 'orang ketiga' yang kini umpama 'trend' juga.

Apa yang pasti, asam garam kehidupan rumah tangga sukar diramal. Meskipun ada pasangan yang sudah hidup bersama lebih 30 tahun hingga 50 tahun sekalipun, jika rumah tangga mereka dilanda 'badai', ia adalah suatu dugaan yang tidak diduga oleh sesiapa.

Penulis wartawan hiburan, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 7:00 AM