Muhamaad Razis Ismail


Kini kita dapat melihat trend masyarakat di negara ini yang membela haiwan kesayangan terutama kucing tinggal bersama-sama dalam rumah dan dianggap sebagai sebahagian daripada ahli keluarga mereka.

Apabila haiwan kesayangan dianggap sebagai anggota keluarga, keperluan kehidupan haiwan kesayangan ini turut dijaga dengan baik sama seperti yang diberikan kepada ahli keluarga lain.

Biarpun begitu ada segelintir individu yang menganiaya dan mengabaikan kebajikan haiwan dengan bertindak kejam mendera dan membunuh haiwan peliharaan.

Secara umumnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengkelaskan dua kesalahan utama terhadap kes yang diterima iaitu kes penganiayaan (membunuh, meracun, memukul dan sebagainya) dan kes kebajikan haiwan (mengabaikan dengan tidak memberi makan minum yang mencukupi, meletakkan haiwan di persekitaran yang tidak sesuai, menyekat tabiat semula jadi haiwan).

Pada tahun lalu sehingga September sahaja, JPV menerima 1,987 aduan dari seluruh negara berhubung penganiayaan dan pengabaian haiwan berbanding 1,580 aduan yang diterima pada 2022.

Bagi menangani perkara ini daripada terus berleluasa, ada dua akta utama yang diperkenalkan bagi mengawal selia kebajikan dan penganiayaan terhadap haiwan iaitu Akta Binatang 1953 dan Akta Kebajikan Haiwan 2015.

JPV dalam satu kenyataan berkata, mengikut Akta Binatang 1953, ada peruntukan bagi tujuan mencegah penganiayaan kepada haiwan.

PEMILIK haiwan bertanggungjawab menyediakan keperluan kepada persekitaran yang sesuai.
PEMILIK haiwan bertanggungjawab menyediakan keperluan kepada persekitaran yang sesuai.

"Sebagai usaha untuk menambah baik kawal selia membabitkan haiwan, kerajaan sudah menggubal satu lagi perundangan yang dinamakan sebagai Akta Kebajikan Haiwan 2015.

"Akta ini menyediakan kedua-dua peruntukan di mana selain daripada pencegahan kepada penganiayaan turut disediakan peruntukan kepada keperluan untuk menjaga kebajikan haiwan," katanya.

Mengulas lanjut, Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang dikuat kuasa mulai Julai 2017 memberi penekanan kepada pemilikan haiwan yang bertanggungjawab.

"Pemilik haiwan perlu memastikan semua keperluan kebajikan haiwan yang mereka miliki dapat dipenuhi termasuk keperluan kepada persekitaran yang sesuai, keperluan untuk diet yang sesuai dan keperluan untuk membolehkannya mempamer corak kelakuan semula jadi

"Pada masa sama, pemilik perlu pastikan keperluan untuk haiwan peliharaan ditempatkan bersama atau berasingan daripada haiwan lain dan keperluan untuk dilindungi daripada kesakitan, penderitaan, kecederaan dan penyakit.

"Penguatkuasaan akta ini turut memberi impak besar kepada masyarakat di negara ini di mana ia berjaya memberi kesedaran kepada rakyat supaya bertanggungjawab kepada haiwan dengan memastikan lima keperluan asas kebajikan haiwan dipenuhi," katanya.

Menurutnya, sejak Akta Kebajikan Haiwan 2015 mula dikuat kuasa di negara ini, jumlah aduan yang diterima semakin bertambah.

KEBAJIKAN haiwan di negara ini menjadi tanggungjawab semua pihak.
KEBAJIKAN haiwan di negara ini menjadi tanggungjawab semua pihak.

"Promosi yang dijalankan JPV menyebabkan masyarakat semakin sedar mengenai kepentingan kebajikan haiwan di negara ini.

"Selain itu, penambahbaikan yang dibuat dalam pengurusan aduan secara atas talian juga menyebabkan bilangan aduan yang diterima semakin bertambah," katanya.

Katanya, JPV giat menjalankan aktiviti kawal selia bagi memantau aktiviti yang membabitkan haiwan bukan sahaja dibuat berdasarkan aduan orang ramai terhadap pemilik haiwan semata-mata.

Ia turut dilakukan di premis yang menjalankan aktiviti membabitkan haiwan termasuk kedai jualan haiwan, pusat perlindungan haiwan dan pusat penginapan haiwan.

"Sekiranya ada kesalahan yang berlaku oleh pemilik haiwan kerana tidak mematuhi piawaian kebajikan haiwan, mereka boleh dikenakan tindakan jika disabitkan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang bertujuan memberi pengajaran kepada pemilik haiwan supaya menjadi pemilik lebih bertanggungjawab dan pada masa sama dijadikan pengajaran kepada masyarakat di negara ini," katanya.

JPV mengharapkan supaya semua pihak di negara ini bersama-sama membendung masalah pengabaian dan penganiayaan kepada haiwan.

"Memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kebajikan haiwan di negara ini bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata, malah ia menjadi tanggungjawab semua pihak.

"Kerjasama semua pihak amat diperlukan bukan sahaja dengan agensi kerajaan bahkan badan bukan kerajaan (NGO), persatuan, pihak swasta, jawatankuasa komuniti masyarakat dan lain-lain amat diperlukan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 6:30 AM