ANTARA babak dalam filem Imam. - FOTO Arkib NSTP
ANTARA babak dalam filem Imam. - FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri


Biarpun filem pertama arahannya, Imam gagal mendapat sambutan di pawagam, namun Mior Hashim Manap tetap optimis dan akan terus menghasilkan karya bergenre keagamaan kepada penonton tempatan.

Kata Mior, tiada sekelumit rasa kecewa dalam diri, sebaliknya dia akan terus menghasilkan karya yang terbaik.

"Saya tidak kecewa atau terasa hati. Bahkan, saya tetap akan terus menghasilkan filem Melayu tempatan yang bergenre religi.

"Waktu filem ini ditayangkan di kedutaan Malaysia di Namibia, Afrika Selatan setiap kali muncul watak Haji Daud lakonan Noramin, mereka suka. Mereka tak faham bahasa kita, tapi mereka suka.

"Ketika membawa filem ini ke festival filem di Iran dengan bantuan Allahyarham Mansor Puteh, juri dari Turkiye dan Iran, mereka cukup tertarik dengan lakonan Faizal Hussein yang menjadi Haji Syamsuri. Mereka juga bertanya mengenai Faizal yang begitu hebat di pentas lakonan.

"Jika filem Ayat Ayat Cinta berjaya menembusi hati peminat di Malaysia satu ketika dahulu, mengapa kita tidak mampu hasilkan filem religi sendiri? Apakah kita tidak mempunyai cerita Islam kita sendiri?

"Apa yang saya kesalkan, kita seolah-olah menjadi pengikut dengan filem keagamaan dari Indonesia. Seolah-olah kita tidak punya harga diri. Seolah-olah tidak punya jati diri. Sebab itu saya buat filem ini," katanya.

Mior ditemui pada Majlis Apresiasi Filem Imam di Pawagam Mini P Ramlee di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sempena program Konvensyen Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) 2024, baru-baru ini.

MIOR (tengah) bersama teraju utama filem Imam. - FOTO Arkib NSTP
MIOR (tengah) bersama teraju utama filem Imam. - FOTO Arkib NSTP

Tambah Mior, filem yang diadaptasi daripada novel hasil tulisan Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain bukan satu tugas mudah.

Bagaimanapun, jalan cerita diterjemahkan dalam filem tetap relevan walaupun kali pertama diterbitkan pada 1995.

"Konflik dua imam iaitu Haji Mahadi dan Haji Syamsuri hingga tercetusnya insiden solat Jumaat dua imam yang ditulis Abdullah ini berlaku pada era 80-an.

"Namun, kalau kita lihat, konflik antara agamawan yang berbeza fahaman masih berlaku sehingga kini," katanya.

Kata Mior, novel Imam yang diangkat ke layar perak begitu kaya dengan mesej dan pengajaran buat seluruh umat Islam.

"Apa yang cuba saya angkat dalam filem ini adalah mengenai akhlak dan keperibadian seorang agamawan.

"Setinggi mana pun ilmu agama yang dimiliki seseorang agamawan, tetapi jika tidak memiliki akhlak yang baik, tiada gunanya dan menjadi sia-sia. Falsafah dan pemikiran beliau ini yang cuba saya angkat dalam filem ini.

"Hidup kita ini beragama. Agama yang pimpin kita ke jalan yang benar. Kita kena pastikan percakapan dan kelakuan kita betul serta hidup dalam suasana harmoni. Bukan tempat untuk bergaduh.

"Rasulullah diangkat sebagai manusia yang hebat bukan disebabkan sifatnya yang warak, tetapi kerana akhlaknya yang terpuji," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 6:45 AM