FOTO Muhaizan Yahya
FOTO Muhaizan Yahya
Saiful Affendy Sapran

Ipoh: New Zealand menewaskan skuad hoki negara menerusi penentuan penalti 5-4, pada perlawanan tempat ke-3/4 Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Azlan Shah, malam tadi.

Kedua-dua pasukan terikat 3-3, di masa sebenar.

Malaysia bermula baik apabila di depan seawal minit ke-7 menerusi jaringan padang penyerang Muhamad Ramadan Rosli.

Pemain tengah negara Fitri Saari mengukuhkan kedudukan Malaysia apabila menyumbang gol kedua minit ke-11, juga hasil pukulan sudut penalti.

New Zealand merapatkan jurang menerusi gol padang Hayden Phillips menewaskan penjaga gol negara, Mohd Hafizuddin Othman.

Minit ke-43 menyaksikan New Zealand memperoleh pukulan sudut penalti dan Kane Russell memanfaatkan peluang itu untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Namun pada minit yang sama juga penyerang negara Shahril Saabah pantas meletakkan Malaysia di depan sekali lagi dengan jaringan padang.

New Zealand yang kerap mengasak selepas itu, akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Russell minit ke-59 untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 8:23 PM