FITRI (dua dari kiri)  menjaringkan gol kedua Malaysia.
FITRI (dua dari kiri) menjaringkan gol kedua Malaysia.
Saiful Affendy Sapran

Ipoh: Malaysia mensia-siakan peluang untuk meraih tempat ketiga kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah apabila tewas menerusi penentuan penalti 4-5 kepada New Zealand selepas seri 3-3 di masa sebenar pada perlawanan tempat ke-3/4 semalam.

Pada satu ketika, skuad negara dilihat berpeluang cerah untuk muncul selaku pemenang apabila di depan menerusi dua gol pantas di awal permainan namun kebangkitan saat akhir New Zealand meranapkan terus impian skuad negara.

Ketua jurulatih Stephen Van Huizen mengakui kecuaian minit-minit akhir sekali lagi membelenggu skuad negara yang menjadi punca kekalahan semalam.

“Secara keseluruhan, pemain memang berasa kecewa dengan kekalahan ini. Tapi harus diingat, mereka beraksi menentang pasukan yang menduduki ranking lebih tinggi berbanding skuad negara dan kredit harus diberikan kepada setiap pemain,” katanya.

Skuad negara memperoleh pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-10, namun peluang itu disia-siakan begitu saja.

Namun seminit kemudian, pemain tengah Fitri Saari memanfaatkan peluang situasi kelam kabut dalam kawasan D untuk menjaringkan gol kedua negara.

Tersentak dengan dua gol itu, New Zealand meningkatkan usaha untuk merapatkan jurang dan akhirnya ia berhasil apabila Hayden Phillips menyumbang gol pertama menewaskan penjaga gol negara Mohd Hafizuddin Othman.

Minit ke-43 menyaksikan New Zealand memperoleh pukulan sudut penalti dan Kane Russell memanfaatkan peluang itu untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Namun pada minit yang sama, juga Shahril Saabah pantas meletakkan Malaysia di depan sekali lagi dengan jaringan padang.

New Zealand yang kerap mengasak selepas itu, berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Russell minit ke-59.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:07 AM