SEORANG penduduk di Daraa, selatan Syria, berdoa di pusara anggota keluarganya, antara lebih 270,000 penduduk yang terbunuh sejak perang saudara meletus di negara itu pada 2011.
SEORANG penduduk di Daraa, selatan Syria, berdoa di pusara anggota keluarganya, antara lebih 270,000 penduduk yang terbunuh sejak perang saudara meletus di negara itu pada 2011.
Agensi

Moscow: Presiden Syria Bashar al-Assad berkata, dia bersedia mengadakan pilihan raya presiden jika rakyat negara itu mahukannya.

Dia juga memberitahu, pilihan raya secara langsung yang menyaksikan pembabitan semua rakyat adalah lebih baik daripada pemilihan presiden oleh anggota Parlimen.

“Ini akan membolehkan pilihan raya itu diadakan secara bebas, jauh daripada pengaruh kuasa politik,” kata Bashar.

Pemimpin Syria itu berkata demikian kepada agensi berita Russia, Sputnik.

Dalam wawancara itu, Bashar juga mencadangkan pembentukan sebuah kerajaan perpaduan dan menolak tuntuan utama pembangkang yang menggesa pembentukan sebuah kerajaan peralihan yang mempunyai kuasa penuh.

Sementara itu, dalam wawancara dengan sebuah lagi agensi berita Russia, RIA, Bashar berkata, rakyat Syria kurang senang dengan pengunduran tentera Russia dari negara itu sekarang atau pada masa depan.

Tentera Russia mula terbabit dalam perang saudara di Syria sejak September lalu dalam usaha mengukuhkan kedudukan Bashar.

Ia memainkan peranan besar dalam kejayaan tentera Syria menawan bandar purba Palmyra minggu lalu.

RIA juga memetik Bashar sebagai berkata, dia bersedia untuk berunding dengan kumpulan militan yang bersedia meletakkan senjata bagi mengelak pertumpahan darah berterusan di negara itu.

Namun, katanya, adalah mustahil untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menempatkan pasukan pengaman di negaranya kerana ia tidak logik dan mustahil.

“Ia tidak realistik kerana pasukan seumpama itu bertindak berasaskan perjanjian antarabangsa. Perjanjian seumpama itu perlu mendapat persetujuan beberapa negara. Negara mana? Dalam kes ini, tidak ada lain kecuali kerajaan Syria yang sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 6:50 AM