TENTERA prokerajaan melepaskan tembakan dari atas kenderaan di al-Izaa, Aleppo. - Reuters
TENTERA prokerajaan melepaskan tembakan dari atas kenderaan di al-Izaa, Aleppo. - Reuters
AFP

Aleppo (Syria): Tentera kerajaan Syria semakin mara dalam pertempuran merebutkan Aleppo, dalam pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersedia membuat undi dalam resolusi mendesak gencatan senjata di bandar berkenaan.

Tiga minggu selepas memulakan operasi di Aleppo, tentera kerajaan dan sekutunya menawan kejiranan Qadi Askar seterusnya bererti mereka kini mengawal dua pertiga kawasan yang sebelum ini dikuasai puak penentang, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).

Pengarahnya, Rami Abdel Rahman berkata: “Tentera rejim melancarkan serangan dari pelbagai arah seterusnya menyebabkan pejuang penentang semakin kehabisan senjata.”

Jika Aleppo jatuh ke tangan tentera Presiden Bashar al-Assad, ia akan menjadi kekalahan paling teruk puak penentang dalam perang saudara yang berlangsung sejak lima tahun lalu itu.

Sementara itu, Majlis Keselamatan semalam mengundi resolusi mendesak gencatan senjata sementara di Aleppo bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar kepada penduduk yang terperangkap di kawasan tempur.

Mesir, New Zealand dan Sepanyol mencadangkan gencatan untuk sekurang-kurangnya tujuh hari susulan perbincangan dengan Russia yang juga sekutu kuat Bashar.

Buat masa ini tidak jelas sama ada Moscow akan menggunakan vetonya dalam majlis berkenaan untuk menghalang cubaan itu.

Sementara itu, 72 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan udara dan bom tong di Idlib, dipercayai dilancarkan Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 10:16 AM