RODGERS
RODGERS
AFP

London: Brendan Rodgers mengakui beliau perlu segera menaikkan semula moral pemain Liverpool selepas mereka dimalukan 3-1 oleh Crystal Palace sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kerjayanya di Anfield.

Anak buah Rodgers itu mencatat satu lagi kekecewaan dalam perlawanan di Selhurst Park dan kekalahan itu adalah yang ketiga berturut-turut buat Liverpool.

Rickie Lambert memberikan pendahuluan di minit kedua buat Liverpool tetapi Reds merelakan kelebihan mereka dirobek Dwight Gayle yang menyamakan kedudukan sambil Joe Ledley dan Mile Jedinak menghasilkan kemenangan pertama Palace sejak September.

Kali terakhir Liverpool bertemu Palace ialah pada Mei lalu dan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 3-3 sekali gus menjejaskan peluang Reds untuk bergelar juara.

Kali ini, kekalahan itu mengakibatkan kelab selatan London berkenaan ketinggalan 18 mata di belakang pendahulu, Chelsea dan semakin hampir dengan zon penyingkiran.

Ketika musim ini Liverpool dilihat bakal berdepan krisis besar, pengurus Reds Rodgers mengakui beliau pasti berdepan pelbagai kritikan keras kecuali anak buahnya bangkit mempamer kemenangan secara serta merta.

“Saya tidak berani mengatakan bahawa saya akan terus memegang jawatan di kelab ini. Semua pengurus pasti mahu menang,” kata Rodgers.

“Saya memang mempunyai hubungan baik dengan pemilik kelab tetapi saya masih perlu mendapatkan keputusan yang mereka inginkan. Mereka mahu melihat perkembangan pasukan.

“Buat masa ini, saya perlu melakukan yang terbaik dan bertanggungjawab. Tekanan adalah milik saya sekarang. Adalah menjadi tugas saya selaku pengurus untuk memilih pemain terbaik yang dijangka boleh menjana kemenangan.”

Pemain yang baru di beli Rodgers setakat ini masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan sistem di Liverpool dan Rodgers sendiri mengaku anak buahnya seolah-olah hilang keyakinan dan tidak bersatu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:06 AM