ALLEN (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
ALLEN (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
AFP

Liverpool, England: Pemain tengah Liverpool Joe Allen terdesak mahukan peluang untuk menyerlah menentang Chelsea awal pagi esok ketika perebutan tempat bagi final Liga Europa semakin hangat.

Allen menghabiskan hampir sepanjang musim di bangku simpanan skuad kendalian Juergen Klopp namun pemain kebangsaan Wales itu memukau apabila dipilih dan membuktikan potensinya dengan satu gol ketika menang 2-0 ke atas Watford, Ahad lalu.

Ada baki dua aksi liga menentang Chelsea dan West Brom sebelum Liverpool berdepan penyandang juara Sevilla di Basel 18 Mei ini dan bos Reds Klopp menegaskan beliau belum tahu kesebelasan utamanya bagi pertandingan kemuncak Eropah itu.

Ia memberi harapan kepada Allen dan pemain pelapis Liverpool, yang mungkin mendapat peluang mereka sekali lagi apabila Chelsea bertandang ke Anfield.

“Ketika aksi final semakin hampir kami mahu menggunakan setiap peluang beraksi di padang bagi membentuk momentum menjelang perlawanan menentang Sevilla,” kata Allen.

“Secara jujur setiap kali anda tampil bagi pasukan ini anda bermain untuk membuktikan anda patut terbabit dengan perlawanan berikutnya, tidak kisah apa pun perlawanannya.

“Sudah tentu ada insentif tambahan apabila ada aksi final.

“Di minda saya, apabila saya melepasi garisan putih itu fokus saya sering kali untuk bertindak cemerlang dan membantu pasukan meraih keputusan, tidak kira siapa yang kami temui.

“Secara peribadi, tidak sukar buat saya untuk memotivasi diri sendiri.”

Liverpool bermula teruk awal musim ini menyebabkan pemecatan Brendan Rodgers sebagai pengurus namun mereka masih boleh menyamai pencapaian tahun lalu dengan berakhir di tangga keenam.

Bagi melakukannya, mereka mungkin perlu memenangi dua baki perlawanan atau berharap pasukan lain keciciran mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 7:21 AM