KERBAU yang cuba dibawa keluar dari Tawau ke Indonesia. FOTO ihsan PPM
KERBAU yang cuba dibawa keluar dari Tawau ke Indonesia. FOTO ihsan PPM
Norasikin Daineh


Tawau: Dua lelaki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau selepas didapati cuba membawa tujuh ekor kerbau ke Indonesia tanpa permit dari Jabatan Haiwan di kawasan muara Sungai Tanjung Batu, malam semalam.‎‎‎

Dalam kejadian 9.30 malam itu, kerbau yang dimiliki seorang lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun cuba dibawa keluar dari negara ini dengan menggunakan sebuah kapal.

Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, tangkapan dibuat ketika sepasukan anggotanya menjalankan Operasi Tango Papa di kawasan terbabit sebelum terserempak dengan sebuah kapal dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota PPM kemudian menahan kapal berkenaan dan mengarahkan juragan berusia 33 tahun itu memberhentikan kapal sebelum memperkenalkan diri sebagai polis untuk membuat pemeriksaan.‎

"Hasil pemeriksaan mendapati kapal terbabit membawa muatan tujuh ekor kerbau dan hasil siasatan awal pemilik mengaku bahawa haiwan ternakan itu adalah miliknya dan mahu dibawa keluar dari Tawau ke negara jiran," katanya ketika dihubungi, hari ini.‎

Bagaimanapun, menurut Mohamad, kedua-dua individu termasuk pemilik haiwan ternakan itu gagal menunjukkan dokumen atau permit kebenaran yang sah dari Jabatan Haiwan mengenai haiwan yang dibawa keluar itu.

"Kita dapati pemilik berkenaan melakukan kesalahan mengikut Ordinan Haiwan 1953 kerana membawa haiwan ternakan keluar dari Tawau ke Indonesia tanpa permit dan kedua-dua individu terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 3:05 PM