ANTARA barang yang berjaya dirampas PPM Tawau dalam Op Landai di perairan Tanjung Batu, Tawau. FOTO ihsan PPM
ANTARA barang yang berjaya dirampas PPM Tawau dalam Op Landai di perairan Tanjung Batu, Tawau. FOTO ihsan PPM
Norasikin Daineh


Tawau: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya mematahkan cubaan menyeludup LPG, gula, tepung dan minyak masak bernilai lebih RM8,200 ke negara jiran dalam Op Landai di perairan Tanjung Batu Laut, dekat sini, semalam.

Dalam operasi pada jam 3.30 petang itu, seorang lelaki warga Indonesia berusia ‎39 tahun turut ditahan bersama sebuah bot yang membawa muatan barang.

Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, ketika anggotanya menjalankan operasi terbabit, sebuah bot dilihat dalam keadaan mencurigakan berada di perairan berkenaan.

"Anggota PPM memintas bot terbabit dan memperkenalkan diri sebagai polis untuk membuat pemeriksaan terhadap bot berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit sarat berisi dengan pelbagai barang keperluan harian dan lelaki terbabit gagal menunjukkan sebarang permit atau lesen yang membenarkan dia membawa barangan terbabit," katanya ketika dhubungi, hari ini.

‎Sehubungan itu, pihaknya mengesyaki bahawa barang berkenaan cuba dibawa keluar dari Tawau ke Sungai Nyamuk, Indonesia.

"Lelaki terbabit terpaksa ditahan dan semua barang yang ditemui dirampas serta dibawa ke Pangkalan Marin Tawau untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 135 (1) (e) 1952 Akta Kastam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 11:44 AM