ANGGOTA PPM menunjukkan lori tangki berisi diesel yang berjaya dirampas di kawasan laut Tanjung Batu. FOTO Norasikin Daineh
ANGGOTA PPM menunjukkan lori tangki berisi diesel yang berjaya dirampas di kawasan laut Tanjung Batu. FOTO Norasikin Daineh
Oleh Norasikin Daineh


Tawau: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan minyak bersubsidi membabitkan lebih 160,000 liter diesel yang bernilai kira-kira RM350,000 di kawasan laut Tanjung Batu, Tawau, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Mohamad Madun berkata, rampasan dibuat kira-kira jam 11 pagi ketika sepasukan anggotanya melakukan Op Paradise di kawasan terbabit.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua lori tangki berada di kawasan terbabit dalam keadaan mencurigakan dan seorang lelaki berusia 53 tahun dipercayai sedang melakukan pemindahan minyak diesel ke sebuah bot tunda.

"Pemandu lori berkenaan gagal menunjukkan lesen dan sebarang dokumen pembelian bahan api terbabit. Kita percaya diesel berkenaan diperoleh dengan cara tidak sah," katanya dalam kenyataan medianya semalam.

Menurut Mohamad, turut ditahan empat individu lain berusia antara 20 hingga 50-an dipercayai terbabit dalam aktiviti itu dan semua barangan termasuk lori tangki dirampas untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 7(4) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 11:57 AM