PEMAIN Sabah Leopold Alfonso (kiri) mengasak kapten Kedah Khairul Helmi Johari pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA 2016 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
PEMAIN Sabah Leopold Alfonso (kiri) mengasak kapten Kedah Khairul Helmi Johari pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA 2016 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Rodly Fadly

Kuala Lumpur: Serangan mesti tajam, pertahanan jangan bocor. Itu dua elemen penting yang perlu ada dalam pasukan Sabah jika mahu memadam defisit 1-2 kepada Kedah dan seterusnya memenangi perlawanan untuk layak ke separuh akhir Piala FA.

Pendapat itu disuarakan penolong pengurus pasukan Sabah Hassan Sani menjelang pertemuan suku akhir kedua di Stadium Darul Aman, Alor Star, pada 1 April depan.

Sabah tewas 1-2 kepada Helang Merah pada suku akhir pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 18 Mac lalu.

Hassan, ketika dihubungi Arena Metro berkata, mereka sudah mengenal pasti punca kekalahan dan jurulatih, Vjeran Simunic sedang berusaha keras memperbaiki kelemahan itu demi memastikan Sabah tidak berputih mata.

“Sabah memberi saingan seimbang kepada Kedah dalam perlawanan di Likas tempoh hari. Malah, kami mencipta banyak peluang tapi ketumpulan barisan penyerang melakukan penyudah menyebabkan kami gagal mendapatkan gol.

“Pada masa sama, pertahanan pula sedikit leka sehingga membolehkan lawan menjaringkan dua gol. Dalam bola sepak, sedikit kesilapan akan dihukum apatah lagi berdepan pasukan berpengalaman seperti Kedah.

“Ini punca Sabah tewas tapi jurulatih sedang bekerja keras untuk mengatasi kedua-dua kelemahan ini. Kekalahan tipis tempoh hari belum menutup peluang kami ke separuh akhir. “Masih ada 90 minit permainan dan kami akan berusaha untuk menang.

“Tapi, jika hendak menang, kena jaring gol dan pertahanan pula jangan bolos. Kalau ini boleh dilaksanakan, tidak mustahil Sabah boleh membuat kejutan.

“Tidak dinafikan, dengan kelebihan jaringan serta gol di tempat lawan, bermain pula di tempat sendiri, Kedah memiliki peluang lebih cerah.

“Mereka hanya memerlukan seri sedangkan kami perlu menang dengan jaringan selesa,” kata Hassan, wira yang membawa Malaysia layak ke Olimpik Moscow 1980.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 9:16 AM