Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid


Kota Kinabalu: Pengendali Sabah Vjeran Simunic (gambar) mengakui masih belum berpuas hati dengan jentera serangan yang dilihat masih tumpul untuk melakukan penyudah meskipun mara ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Likas, malam kelmarin.

Katanya, skuad bimbingannya itu dilihat mampu mendapat lebih banyak gol menerusi beberapa percubaan menarik yang dicipta anak buahnya.

“Ia satu lagi persembahan yang baik daripada pemain, namun kami sebenarnya mampu mendapat tiga atau empat gol lagi sekiranya mereka melakukan penyudah dengan sempurna.

“Secara keseluruhan saya puas hati dengan persembahan yang ditunjukkan mereka pada perlawanan itu,” katanya.

Jurulatih berusia 62 tahun itu berkata, mutu permainan anak buahnya kini semakin baik namun tidak bernasib meningkat untuk memperoleh kemenangan dalam saingan Liga Perdana.

“Bagi malam ini (kelmarin), saya perlu memuji pemain kerana memberikan aksi 200 peratus hingga mencapai kemenangan,” katanya.

Simunic berkata, pasukannya diberi saingan sengit oleh ATM pada perlawanan itu namun semangat juang tinggi pemainnya berjaya mengatasi tekanan lawan.

“ATM sebenarnya pasukan yang baik dan tidak seperti digambarkan dalam kedudukan liga (ATM di tangga tercorot), mereka ada beberapa pemain yang berkualiti.

“Bagaimanapun pemain kami berjaya menyerap tekanan diberikan pihak lawan, saya fikir pasukan saya bermain baik kerana mereka di bawah tekanan berikutan beberapa kekalahan sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, pada perlawanan itu, Sabah mendapat jaringan pertama menerusi tandukan Prince Nnake (m-12) namun kedudukan kembali terikat selepas ATM menyamakan kedudukan hasil jaringan Faiz Ibrahim (m-22).

Skuad Badak bagaimanapun menemui gol kemenangan pada minit ke-46 hasil jaringan Maxsius Musa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 8:04 AM