NNAKE (kanan) jaring satu gol.
NNAKE (kanan) jaring satu gol.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid


Kota Kinabalu: Corak permainan menarik dipamerkan penyerang muda Nigeria Prince Tochukwu Nnake dalam aksi persahabatan ketika bertemu skuad Piala Presiden Sabah kelmarin, menambat hati ketua jurulatih Vjeran Simunic sekali gus memutuskan untuk menyunting pemain itu bagi memantapkan cabaran pasukan musim ini.

Meskipun baru menjalani ujian pemilihan bagi mengisi slot pemain import luar negara, Simunic mengaku tertarik dengan aksi ditunjukkan pemain berusia 26 tahun itu.

Nnake yang tiba di Kota Kinabalu, Selasa lalu dan dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa pertama turut meledak satu gol selain gerakan dipamerkan sering mencemaskan pertahanan lawan.

“Saya jatuh hati dengan pemain ini kerana keupayaannya melakukan serangan dari arah kiri atau kanan selain mengawal bola dengan baik.

“Paling penting, gerakannya turut berjaya menjaringkan gol,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Dalam aksi persahabatan itu, Sabah bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat pasukan muda mereka dengan keputusan seri 2-2 dengan hampir semua pemain diberi peluang untuk beraksi.

Bagaimanapun, Simunic berkata, perkara itu (mendapatkan Nnake) belum dimuktamadkan lagi.

“Ia bergantung kepada keputusan pihak pengurusan pasukan,” katanya.

Skuad Sabah sudah mengikat tiga pemain import dari Croatia Igor Cerina sebagai pemain pertahanan, pemain Brazil Marco Tulio Gomez (tengah) dan bekas kapten skuad Bawah 23 Tahun Indonesia Dedi Kusnandar yang mengisi slot pemain import Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:08 AM