Antara pendatang asing yang ditahan dalam Ops Bersepadu direkodkan maklumat mereka sebelum dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, Sandakan, minggu lalu. - Foto HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Antara pendatang asing yang ditahan dalam Ops Bersepadu direkodkan maklumat mereka sebelum dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, Sandakan, minggu lalu. - Foto HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kerajaan akan memendekkan tempoh Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau Program Rehiring yang dijadualkan berakhir 31 Disember depan, kepada 30 Jun ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataannya berkata, Program Rehiring dilaksanakan secara dalam talian bermula 15 Februari bagi PATI dari 15 negara sumber sedia ada.

Menurutnya, bagi tempoh 15 Februari hingga 10 Mac, 15,822 PATI didaftarkan melalui Program Rehiring meliputi 9,738 warga Indonesia, 3,808 (Bangladesh), 425 (Myanmar) dan 1,851 negara lain.

“Berdasarkan penilaian KDN, walaupun Program Rehiring dilaksanakan hampir sebulan berserta operasi penguatkuasaan secara besar-besaran oleh Jabatan Imigresen, prestasi yang dicapai masih di tahap tidak memuaskan ekoran ramai majikan didapati menggaji PATI.

"Kerajaan menyeru majikan menggunakan peluang untuk menyertai Program Rehiring bagi membolehkan PATI dikeluarkan permit kerja yang sah," katanya hari ini.

Menurutnya, kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan perundangan terhadap majikan yang menggaji PATI mengikut Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/ 63 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap pekerja.

Majikan yang mengambil lebih lima pekerja secara haram boleh dikenakan penjara tidak kurang enam bulan namun tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan sehingga enam sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 7:49 PM